BEKAS Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menempelak warganet yang bertindak mendakwa dan menyalahkannya sebagai ‘individu’ yang telah menghapuskan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Tegas beliau, faktanya ialah UPSR dimansuhkan oleh pihak kementerian pada zaman Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin pada 2021.
“Bagi netizen yang jari lebih laju daripada otak menyalahkan saya yang menurut dakwaan dangkal mereka, telah menghapuskan UPSR. UPSR dimansuhkan pada 2021.
“Pada 2023, Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Menterinya, Fadhlina Sidek menegaskan bahawa KPM tidak berhasrat untuk menghidupkan UPSR dan bertegas dengan keputusan yang telah dibuat pada 2021.
“Mutakhir ini pula, setelah Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) menyuarakan agar UPSR dihidupkan semula, KPM berjanji akan bawa usul tersebut ke mesyuarat Kabinet,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahmad Zahid ketika merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-78 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, di Shah Alam semalam, berkaitan cadangan supaya sistem peperiksaan bagi Tahun 6 di sekolah rendah dan Tingkatan 3 di sekolah menengah dirombak.
Maszlee berkata, isu mengembalikan semula UPSR perlu mengambil kira Laporan Kajian Dasar Pendidikan Negara 2019 berserta cadangan Modal Pendidikan Baharu sebagai rujukan.
Untuk itu katanya, terserah kepada Menteri Pendidikan dan pihak kementerian serta kerajaan untuk membuat keputusan yang terbaik sama ada mengembalikan peperiksaan itu atau sebaliknya.
“Mereka lebih faham dan tahu keadaan terkini pendidikan negara. Saya ini bukan sesiapa pun dalam ranah pendidikan hari ini.
“Ditelan mati emak, diluah mati bapa, biarlah insan hina di pinggiran ini mendiamkan diri dan bergelut dalam ruang yang lain untuk berbakti kepada negara,” katanya. – Metra Syahril/WILAYAHKU