PEMILIHAN pelakon Rozita Che Wan sebagai pengacara program Cuit Cuit Che Ta musim kedua di saluran TV Okey bukanlah gimik untuk menarik penonton.
Sebaliknya jelas Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman, pihaknya tidak mendiskriminasi selebriti kontroversi sebaliknya memberi peluang kepada mereka untuk kekal di layar televisyen.
Menurut Suhaimi, dia tidak mempunyai sebarang isu kerana enggan mencampuri urusan peribadi pelakon itu.
“Kalau mereka bermasalah, tak ada isu pun Apa yang penting mereka dapat atasi masalah itu kemudian menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.
“Kita semua melakukan kesilapan. Tapi masyarakat akan terima kalau kita perbaiki kesilapan kita.
“Kita perlu bantu membantu untuk menjadi lebih baik. Apa pun penglibatan Che Ta dalam program itu bukan gimik yang diada-adakan untuk menarik penonton,” katanya.
Suhaimi ditemui selepas sidang media Puasa! Raya! RTM 2025 di Angkasapuri, tengahari tadi.
Dalam pada itu, Suhaimi menafikan bahawa pemilihan artis kontroversi oleh stesen televisyen RTM adalah satu gimik.
Katanya RTM tidak akan sesekali mengambil kesempatan dengan memilih artis-artis sensasi bagi menarik penonton.
‘Ia tindakkan yang tidak bertanggungjawab dan boleh merosakkan reputasi kami sebagai stesen milik kerajaan,” katanya lagi.
Rozita atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta bakal tampil menerusi program ‘Cuit-Cuit Che Ta’ yang ditayangkan di saluran Okey setiap hari bermula 6 Mac, pada pukul 6 petang.
Pada 10 Disember lalu, kediaman mewah milik Rozita di Kota Damansara, Petaling Jaya dilapor diserbu Mara bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Difahamkan, pinjaman berjumlah RM960,000 itu dibuat pada tahun 2017 oleh syarikat pelakon tersebut, RCW Worldwide Sdn Bhd dengan Rozita dan anak lelakinya iaitu Ammar Effendy sebagai penjamin.
Acara lelongan awam yang sepatutnya berlangsung pada 24 Disember lalu membabitkan 34 barangan milik Rozita dengan jumlah keseluruhan bernilai RM902,012.46 sepatutnya diadakan, namun ditangguh atas permohonan pelakon itu.
Pada 29 Disember, pengarah Mara iaitu Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, memaklumkan aktres itu sudah membayar sebanyak RM550,000.
Selain Che Ta, sebelum ini pernah timbul kontroversi membabitkan pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal yang direhatkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Ini susulan kontroversi tular mendakwa Don atau Don Daniyal Don Biyajid, 40, mengeluarkan kenyataan mengelirukan tanpa sokongan dalil sah semasa bersiaran. – WILAYAHKU