MELENTUR buluh biarlah dari rebungnya. Bukan sekadar peribadi dan tutur kata berhemah, setiap perlakuan yang baik dalam kehidupan harian juga perlu disemai sejak kecil.
Justeru, kepentingan alam sekitar untuk kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera antara nilai murni yang perlu disemai sejak kecil meskipun awalnya ia sukar untuk dilakukan.
Atas dasar itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 (1) dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Alam Flora Environmental Solutions (AFES) melancarkan Pameran dan Bicara Kitar Semula serta Pelancaran Laman Kitar Hias sebagai usaha mendidik generasi muda lebih peka terhadap alam sekitar.
Menurut Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran, Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Dr Mohd Helmi Abdul Hamid, acara ini bertujuan mendidik generasi muda mengenai kepentingan amalan kitar semula melalui pendekatan yang interaktif dan kreatif sejajar dengan aspirasi Generasi Putrajaya, Juara Kitar Semula.
“Tugas pelajar dan murid pada hari ini bukan sahaja terikat mengikuti pembelajaran di sekolah tetapi memikul tanggungjawab lebih besar dalam memastikan kepentingan alam sekitar terpelihara dan memastikannya dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
“Mereka inilah yang perlu menjadi penggerak utama dalam menjalankan program pemuliharaan alam sekitar sebelum diperluas kepada komuniti setempat.
“Menjaga kepentingan alam sekitar merupakan tanggungjawab semua pihak dan persepsi masyarakat bahawa peranan itu hanya digalas pihak berkuasa wajar diperbetulkan demi mengelak berlakunya kemusnahan bumi,” katanya.
Selain itu, beliau berkata program ini juga dapat menggalakkan pelajar memelihara alam sekitar melalui cara ‘reuse, reduce and recycle’.
“Pembabitan kanak-kanak menerusi aktiviti seni seperti ini dengan menggalakkan penggunaan bahan kitar semula dapat membantu mereka menjadi lebih peka pada kepentingan alam sekitar di samping membantu menyelamatkan bumi.
“Ini juga sebagai inisiatif untuk mendekati dan menyampaikan mesej positif kepada pelajar menerusi kaedah menarik di samping menggalakkan pelajar berfikiran lebih inovatif dan kreatif dalam menghasilkan produk menggunakan barang terpakai.
“Minda anak muda ini juga mudah dibentuk dan aktiviti seni menjadi satu wadah yang boleh digunakan untuk menyampaikan mesej mengenai pentingnya kitar semula dan penjagaan alam sekitar,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata majlis ini adalah sebahagian daripada usaha menyokong pembangunan mampan dengan memperkasakan komuniti sekolah sebagai pemangkin perubahan.
“Dengan usaha ini, semoga seluruh warga SK Putrajaya Presint 11(1) dapat meneruskan usaha murni ini dalam membudayakan amalan kitar semula sekaligus menyumbang kepada pengurangan sisa dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya. – WILAYAHKU
[Iklan]