Berita

Budaya Sarapan di Malaysia diiktiraf UNESCO

Foto: Jabatan Warisan Negara
- Diterbit 5 Disember 2024 2:51 PM MYT

BUDAYA Sarapan di Malaysia: Pengalaman Menjamu Selera Masyarakat Pelbagai Etnik mendapat tempat dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), pengiktirafan itu diumumkan pada sesi ke-19 Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk Pemeliharaan Warisan Budata Tidak Ketara (IGCICH) di Asuncion, Paraguay.

Katanya, Badan Penilai memutuskan Budaya Sarapan di Malaysia telah memenuhi semua kriteria yang digariskan oleh Konvensyen Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara 2003, UNESCO.

“Budaya Sarapan di Malaysia mencerminkan kepelbagaian budaya, keharmonian, penglibatan dan penerimaan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.

“Ia merupakan elemen warisan kebudayaan tidak ketara yang selari dengan kriteria UNESCO, sekali gus memberi impak dalam hubungan sosial masyarakat.

“Budaya itu turut mencerminkan kekuatan dalaman Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum,” kata MOTAC dalam kenyataan pada Khamis.

MOTAC memberitahu, pihaknya melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) telah mengemukakan dokumen pencalonan Budaya Sarapan di Malaysia kepada sekretariat UNESCO pada 30 Mac tahun lalu.

Katanya, ia merupakan pencalonan pertama yang berkaitan dengan makanan dan gastronomi Malaysia.

Terdahulu Malaysia telah mendapat pengiktirafan sama untuk Mak Yung pada 2005 diikuti Dondang Sayang (2018), silat (2019), upacara Ong Chun/Wangchuana/Wangkang, pencalonan bersama China (2020), pantun, pencalonan bersama Indonesia (2020), songket (2021) dan Mek Mulung (2023).

“Kejayaan pengiktirafan budaya ini akan menggalakkan lebih banyak usaha perlindungan warisan tidak ketara dapat dilakukan secara sinergi melibatkan banyak pihak berkepentingan termasuk pihak kerajaan bersama persatuan dan komuniti tempatan selain membuka peluang jaringan kerjasama yang lebih luas dalam pelbagai bidang.

“Pengiktirafan ini juga membuktikan komitmen MOTAC dalam melindungi warisan kebudayaan tidak ketara, sejajar dengan Teras 3 Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) iaitu memfokus kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya,” kata MOTAC.

Tambahnya, pengiktirafan Budaya Sarapan di Malaysia sebagai warisan tidak ketara UNESCO ini merupakan hasil usaha kerjasama kolektif semua pihak yang terlibat khususnya warga kementerian termasuk jabatan di bawahnya iaitu JWN. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas