BUDAYA hedonisme iaitu gaya hidup yang mementingkan keseronokan duniawi semata-mata, menjadi antara punca utama lahirnya sikap membuli dalam masyarakat moden.
Ketua Program Sarjana Muda Usuluddin dan Multimedia, Universiti Islam Selangor (UIS), Muhammad Faiz Mukmin Abdul Mutalib berkata, perbuatan menindas, merendahkan atau mencederakan pihak yang lemah jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
“Hedonisme melahirkan generasi yang mengukur nilai diri berdasarkan kekuatan fizikal, kuasa dan status sosial di mana dalam konteks ini, pelajar yang kuat atau berpengaruh sering menggunakan kedudukan mereka untuk menindas yang lebih lemah demi keseronokan atau pengiktirafan dalam kelompok mereka.
“Budaya ini juga menanam sifat pentingkan diri sendiri serta memandang rendah keperluan dan perasaan orang lain. Ini bertentangan dengan Islam yang menekankan tawadhu’, keinsafan dan tanggungjawab sosial.
“Islam mengajar kita bahawa kebahagiaan sejati bukan terletak pada hiburan melampau atau menindas orang lain tetapi pada menyebarkan kebaikan dan membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Muhammad Faiz berkata, budaya membuli juga boleh menimbulkan salah tanggapan terhadap agama Islam itu sendiri kerana Islam dinilai bukan hanya melalui ajarannya tetapi juga melalui akhlak dan tingkah laku umatnya.
“Apabila berlaku pembulian, terutamanya yang dilihat ganas atau zalim, ada risiko masyarakat bukan Islam menganggap Islam itu agama yang tidak berperikemanusiaan atau keras sedangkan hakikatnya, ia adalah agama rahmat dan kasih sayang.
“Menjaga kemuliaan dan imej Islam adalah tanggungjawab setiap Muslim di mana dengan menghindarinya adalah sebahagian daripada usaha untuk menjaga imej Islam sebagai agama yang adil, belas kasihan dan membawa kebaikan kepada semua makhluk.
“Dalam konteks maqasid syariah, salah satu matlamat utama ialah hifz ad-din iaitu menjaga agama yang bermaksud menjaga agama bukan sahaja dari aspek akidah dan ibadah tetapi juga memastikan Islam difahami dengan cara yang benar oleh orang lain,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, dalam menangani isu buli melalui pendekatan agama, ia boleh dilihat dari dua sudut utama iaitu sunnatullah dan syariatullah.
“Sunnatullah merujuk kepada hukum alam atau ketetapan Allah yang berlaku secara sejagat dan dalam konteks menangani buli, pendekatan ini menekankan pemahaman terhadap psikologi manusia iaitu memahami punca buli seperti masalah emosi, trauma atau pengaruh persekitaran.
“Selain itu, menerusi sosial dan budaya dengan menyediakan persekitaran yang positif serta pendidikan dan pembentukan karakter kerana pendidikan akhlak ini berfungsi sebagai asas untuk membentuk masyarakat yang beradab.
“Manakala syariatullah pula adalah hukum atau peraturan Allah yang diberikan melalui wahyu, antaranya pendidikan agama iaitu menanam nilai ihsan dan taqwa melalui pengajian agama serta pembuli perlu diingatkan tentang hisab di akhirat di atas setiap perbuatannya.
“Di samping itu, pendekatan dakwah juga boleh digunakan untuk menegur pembuli secara hikmah dan Islam menggalakkan penyelesaian konflik dengan cara memperbaiki hubungan sebagai contoh melalui permohonan maaf secara ikhlas, perdamaian dan mengembalikan hak mangsa,” jelasnya.
Muhammad Faiz berkata, menangani buli memerlukan pendekatan yang holistik, menggabungkan sunnatullah melalui pendidikan dan psikologi serta syariatullah melalui penghayatan nilai agama dan penerapan hukum-hakam Islam kerana perbuatan membuli ini adalah satu ‘iceberg’ yang hanya nampak di permukaan air, sedang yang mengakar ke bawah itu lebih besar dan lebih utama dikenal pasti seterusnya ditangani. – WILAYAHKU