TIMBALAN Menteri Pertahanan, Adly Zahari tegaskan budaya buli tidak boleh diterima meskipun latihan-latihan di bawah Kementerian Pertahanan bersikap tegas dan banyak bersifat fizikal.
Beliau berkata lebih-lebih lagi buli itu sehingga meragut nyawa.
“Walaupun tahu di Kementerian Pertahanan latihan kita agak tegas dimana banyak libatkan latihan sifat fizikal, namun pembulian tak dibenarkan,” katanya semasa penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat Jawatankuasa Kementerian Pertahanan.
Dalam pada itu, Adly berkata di peringkat Kementerian Pertahanan sudah mengambil tindakan.
Beliau juga mengingatkan pembuli bukan sahaja berdepan dengan tindakan Kementerian Pertahanan tetapi juga dengan undang-undang.
“Mereka yang lakukan pembulian kita keluarkan mereka, kita tamatkan.
“Pada masa sama kena ingat siapa lakukan pembulian ini bukan sahaja berdepan kementerian pertahanan mereka harus juga hadapan dengan undang-undang,” katanya. – WILAYAHKU