Berita

Budaya aktiviti sukan

Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 12 Januari 2024 10:10 AM MYT

PERANTI dan gajet kini sering kali mengambil alih masa senggang anak-anak untuk melakukan sebarang kegiatan sukan atau aktiviti sihat yang lain.

Hal ini disebabkan pengaruh penggunaan gajet begitu kuat dan sering mencengkam sebahagian masa dalam seharian. Seandainya tiada pengawalan dan peraturan yang ditetapkan oleh ibu bapa, kegusaran anak-anak terjerumus jauh dengan gajet akan mendatangkan banyak keburukan berbanding kebaikan.

Justeru itu, pembudayaan aktiviti sukan perlu dipupuk sejak kecil dengan melaksanakan pelbagai aktiviti sihat termasuk di peringkat sekolah.

Menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Danau Kota (2), Hazizan Hussain, bagi mengimbangi pengaruh gajet, pihaknya sedaya upaya melaksanakan pelbagai aktiviti sihat seperti penganjuran Kejohanan Olahraga Sukan Tahunan.

“Pelaksanaan kejohanan ini berupaya menonjolkan atlet-atlet pelapis yang akan mewakili sekolah pada tahun seterusnya dan secara tidak langsung akan mewujudkan persaingan sihat sesama murid,” katanya.

Tambah beliau kejohanan tersebut merupakan penganjuran kali ke-16 seiring penubuhan sekolah pada tahun 2006.

“Hal ini membuktikan bahawa saban tahun sekolah akan sedaya upaya menganjurkan kejohanan olahraga ini dalam memastikan pihak sekolah senantiasa dibarisi pelapis yang akan mewakili sekolah dan berupaya mengharumkan nama sekolah sehingga di peringkat kebangsaan,” ujarnya.

Selain itu, Hazizan berkata kejohanan yang mengangkat tema perbankan di Malaysia itu telah menjulang pasukan rumah kuning selaku johan keseluruhan bagi tiga tahun berturut-turut dan secara tidak langsung telah menunjukkan persaingan yang baik sesama ahli rumah sukan serta mewujudkan suasana kompetitif yang produktif serta berdaya saing secara sihat.

“Kami mengharapkan kejohanan olahraga ini akan terus dilaksanakan pada tahun akan datang demi memastikan pembangunan murid yang holistik serta kemenjadian murid secara menyeluruh.

“Semoga kejohanan sebegini akan menyemarakkan lagi semangat kesukanan dalam diri setiap murid-murid, seterusnya berupaya mendukung bakal pelapis yang cemerlang dalam bidang sukan pada suatu hari nanti,” katanya yang turut teruja melihat sokongan ibu bapa serta masyarakat setempat yang hadir memeriahkan kejohanan pada kali ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas