KOMITMEN Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk membuat semula video promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 adalah wajar dan tepat.
Demikian ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dengan mengambil kira semangat Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan selain kemajmukan masyarakat di negara ini.
Selain itu katanya, seperti semua sedia maklum, institusi masjid dan surau menjadi imej dan identiti tonggak kepada negara Malaysia.
“Usaha-usaha untuk memperkukuh serta memartabat syiar Islam di Malaysia adalah keutamaan Kerajaan MADANI yang sedang dilaksanakan dengan penuh giat oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui agenda Membangun Malaysia MADANI dan Pelan Transformasi Al-Falah.
“Untuk itu kita menyambut baik komitmen MOTAC untuk membuat semula video promosi berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mohd Na’im berkata, usaha pengukuhan Islam telah digerakkan secara bersepadu bersama semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri, agensi swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Semua pihak adalah diseru untuk bersama-sama mengambil inisiatif memperkukuh perpaduan demi menjayakan agenda memajukan negara,” katanya.
Terdahulu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, video TMM 2026 yang dipertikaikan kerana tidak memasukkan elemen masjid akan dibuat semula dengan lebih terperinci oleh pihak kementerian dan agensi berkaitan bagi mempromosi setiap negeri sebaiknya. – WILAYAHKU