Berita

Buat laporan dahulu sebelum layak terima pelindungan – Azalina

- Diterbit 13 November 2024 4:07 PM MYT

MANA-mana individu yang mahu melaporkan apa-apa kesalahan perlu melalui agensi yang bertanggungjawab sebelum mereka layak mendapatkan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia prosedur yang termaktub di bawah akta terbabit.

“Contohnya, kalau kes rasuah, pemberi maklumat kena beri maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dahulu. Kemudian agensi itu akan membuat siasatan dan keputusan sama ada individu itu dilihat layak sebagai pemberi maklumat atau tidak. Itu prosedurnya.

“Yang tak bolehnya, bila kita tahu maklumat dan kita tidak buat laporan kepada agensi yang bertanggungjawab tetapi tiba-tiba buat kenyataan mahu perlindungan. Itu sebab kita ada undang-undang yang memberikan mereka perlindungan antara agensi dan pemberi maklumat.

“Tapi kalau seseorang menganggap kerana kita mahu bercakap dengan media dan kita nak dapatkan perlindungan, pada saya itu untuk agensi yang tentukan. Sebab agensi pun nak nilai maklumat yang ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Timbang Tara  Antarabangsa 2024 di sini hari ini.

Pada Sabtu lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan pegawainya telah berjumpa dengan seorang pemberi maklumat pada 30 Okt lepas membabitkan kes klip video beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa meminta wang sebagai balasan menyokong kelulusan projek. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas