SETIAP kali tibanya bulan Safar yang merupakan bulan kedua dalam kalendar Hijrah, terdapat segelintir umat Islam yang masih menganggap serta mempercayai bulan tersebut membawa sial serta bencana. Maka untuk menolak bala, mereka akan melakukan tradisi yang dikenali sebagai mandi Safar.
Biasanya ia berlaku pada hari Rabu terakhir minggu keempat bulan Safar. Pada pagi tersebut orang ramai mandi-manda di pantai atau sekurang-kurangnya minum air yang telah direndam kertas safar atau papan kecil yang ditulis kalimat suci.
Amalan turun-temurun dalam kalangan masyarakat Melayu yang amat ketara sekitar era 60-an dan 70-an ini disambut seakan pesta atau perayaan khas seperti menyambut hari kebesaran dengan berpakaian baharu, mendandan rambut dan sebagainya.
Antara tempat yang dicatatkan tersaksi berlakunya acara mandi-manda ini adalah Pantai Morib, Selangor dan juga negeri-negeri lain seperti Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang atau tempat-tempat yang berhampiran dengan pantai atau laut.
Pada 9 Julai 1963, wujudnya kesepakatan antara para ulama Johor dan Singapura mengenai sifat tidak berasas upacara ini kepada apa jua yang diajarkan empat mazhab Islam melainkan daripada suatu hadis yang lemah (dhaif).
Mandi Safar dan minum air wafak pada hari itu dianggap sebagai bidaah (perkara yang diada-adakan) dan karut semata-mata. Pendapat ini masih diteruskan ulama di dua-dua negara berpandukan kepada Hadis Nabawi menolak semua kepercayaan yang berkait dengan sial majal, seperti mafhum hadis.
Sungguhpun begitu, amalan tersebut tidak lagi ketara pada hari ini berbanding dahulu kerana ia adalah khurafat yang ditegah oleh syarak serta dapat merosakkan akidah seseorang.
Mengulas tentang perkara tersebut, Nazir Masjid Kampung Kelanang, Banting, Dr Hasnurol Hashim berkata, amalan turun-menurun sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat namun di era zaman 2024 ini tidak ada lagi berlaku mandi Safar.
“Jika berlaku pun sekelumit sahaja, Wallahu A’lam namun jika berlaku pada hari ini baliklah ke pangkal jalan Islam yang berpaksikan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah serta berdamping dengan ulama-ulama asatizah.
“Namun masyarakat Islam di zaman ini sudah tahu dan arif sesuatu perkara-perkara yang betul dan batil. Tiada alasan sebenarnya pada tahun 2024 ini tidak tahu tentang ajaran Islam. Zaman yang penuh teknologi dan mudah akses memberi manfaat untuk mempelajari Islam mengikut acuan Baginda SAW. Tinggal lagi kita perlu berguru dan mencari guru yang benar-benar berautoriti dalam agama.
“Kepercayaan pada sial majal adalah suatu perbuatan syirik (Nabi mengulang kata ini sebanyak tiga kali) sebagaimana Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi),” ujar beliau.
Malah, terdapat hadis-hadis sahih diriwayatkan sahabat termasuk Abu Hurairah dan Jabir bin Abdullah yang merakam penegasan Nabi Muhammad bahawa bulan Safar langsung tidak membawa apa-apa bala sepertimana ramalan hujan dan bulan bintang yang ada pada zaman Arab Jahiliyah pada masa itu.
“Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak ada kesialan dalam bulan safar bahkan tidak ada Ghul(Syaitan yang boleh menyerupai dalam pelbagai bentuk untuk menyesatkan manusia).” – Riwayat Muslim
Tambah Hasnurol tiada amalan yang khusus pada bulan Safar khusus seperti amalan di bulan Ramadan namun umat Islam diharapkan untuk terus melakukan ibadah dan amalan wajib dan sunat.
“Tidak ada dalil khusus yang menunjukkan bahwa bulan ini lebih utama dibanding bulan lainnya, umat Islam tetap diajarkan untuk menjaga kebaikan dan menghindari kepercayaan-kepercayaan yang tidak berasas.
“Perbanyaklah amal ibadah seperti solat, puasa sunat, sedekah, berzikir, membaca Al-Quran dan lain-lain ibadah,” ujar beliau kepada Wilayahku.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tidak dinafikan masih berlaku amalan-amalan khurafat lain dalam kalangan masyarakat pada hari ini.
“Maaf saya katakan, walaupun mempunyai kelulusan tinggi namun masih mudah dipengerahui dengan sesuatu amalan atau kepercayaan khurafat termasuk amalan ajaran sesat.
“Jika lihat pengikut-pengikutnya terdiri dalam kalangan individu terpelajar berkerjaya profesional. Ini adalah terbukti bahawa kita sudah pun berada di akhir zaman yang perlu kita jaga adalah keteguhan iman dalam diri.
“Menjaga iman bukanlah mudah, ia tidak namapak seperti kereta rosak, tubuh badan sakit, harta benda hilang dan sebagainya namun kita mampu untuk menjaga iman dan hindari amalan-amalan khurafat ini dengan panduan Al-Quran dan hadis selain melalui usaha kerja-kerja dakwah yang dilakukan para asatizah,” ujar beliau. – WILAYAHKU