PENYERTAAN Malaysia dalam BRICS tidak harus dianggap sebagai ancaman diplomatik kepada mana-mana negara.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) menegaskan, hal demikian kerana dasar luar Malaysia konsisten dengan prinsip berkecuali dan tidak memihak.
Ini katanya, melalui penekanan kepada hubungan baik dengan semua pihak termasuk negara-negara Barat.
“Dalam konteks ini, Malaysia akan terus mengukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama pelbagai hala dengan Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).
“Ia antara lain meneroka potensi kerjasama baharu dengan negara-negara tersebut menerusi pelbagai bidang baharu dan sektor memuncul atau emerging sector, yang merangkumi teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, pendidikan dan pembangunan sumber manusia,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
Wisma Putra menjawab soalan Senator Datuk Seri SV Vell Paari mengenai sama ada penyertaan Malaysia dalam BRICS dianggap sebagai ancaman diplomatik.
Jelas Wisma Putra, dari sudut pelbagai hala, penyertaan dalam kerangka-kerangka seumpama BRICS dapat mengukuhkan keyakinan dan persefahaman antara negara, melalui dialog dan kerjasama yang utuh ke arah pembangunan antarabangsa secara bersama.
Katanya, secara asas, pertimbangan dan komitmen Malaysia untuk menyertai BRICS adalah bersandarkan pendekatan berbilang arah dalam konteks pelaksanaan dasar luar negara bagi memastikan kepentingan negara sentiasa terpelihara.
Pendekatan itu tegasnya, memberikan peluang untuk memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat global, yang akan melengkapkan peranan aktif Malaysia dalam kerangka pelbagai hala seperti ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Kumpulan 77 (G-77).
Katanya, ini termasuk Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) dan Persidangan Ketua-Ketua Negara/Kerajaan Komanwel (CHOGM).
“Ia juga bertepatan dengan aspirasi Malaysia dalam memperjuangkan agenda Global South yang menyumbang ke arah pembangunan global mampan dan peradaban dunia yang lebih adil dan saksama.
“Sebagai sebuah negara berdagang, adalah penting untuk Malaysia menjalinkan hubungan baik dengan semua negara bagi membolehkan kita meneroka peluang-peluang perdagangan dan pelaburan baharu,” katanya.
Wisma Putra berkata, kerajaan melihat bahawa penglibatan Malaysia dalam BRICS adalah selari dengan usaha memacu ekonomi negara untuk berkembang dengan lebih pesat, stabil dan berdaya tahan.
“Secara kumulatif, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara anggota BRICS adalah berjumlah AS$26.6 trilion iaitu 26.2 peratus daripada KDNK dunia,” katanya. – WILAYAHKU