Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

BRICS buka lembaran baharu buat Malaysia

BLOK ekonomi organisasi antara kerajaan BRICS akan memberi impak positif kepada negara. - Gambar hiasan
- Diterbit 21 Jun 2024 9:00 AM MYT

PENYERTAAN Malaysia dalam blok ekonomi organisasi antara kerajaan BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) akan memberi impak yang positif kepada negara dalam pelbagai aspek.

Setiausaha Agung Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATTA), Dr Mohd Fairuz A Razak berkata ia memberi gambaran bahawa Malaysia sedia membina rakan strategik yang lebih pelbagai.

Malah menurut Mohd Fairuz, ia juga dapat mengurangkan kebergantungan negara ke atas dolar Amerika Syarikat dalam urusan perdagangan.

“Penglibatan Malaysia ke BRICS secara tidak langsung akan mengubah landskap ekonomi negara khususnya dalam sektor perdagangan.

“Ia juga dapat melindungi negara daripada perubahan dalam dasar monetari dan turun naik mata wang Amerika Syarikat sekali gus mengukuhkan juga mata wang negara,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Tambah Mohd Fairuz, negara seperti China juga merupakan antara rakan dagang terbesar Malaysia menunjukkan keyakinan terhadap ekonomi negara.

Jelasnya, fleksibiliti BRICS juga membolehkan Malaysia mengekalkan pendirian serta bebas memilih.

“Persekitaran ekonomi BRICS lebih memihak kepada negara kita berbanding sekarang di mana mampu menjadi pemangkin dalam membina ekonomi yang lebih stabil.

“Kita memerlukan rakan dagangan yang lebih banyak dengan kepercayaan daripada negara-negara besar juga adalah antara prospek-prospek penting untuk meyakinkan pelabur-pelabur antarabangsa.

“Malahan Malaysia juga mampu mengeksport barangan ke luar dengan lebih senang memandangkan BRICS banyak dianggotai negara-negara dari benua Asia,” katanya.

Mohd Fairuz turut menegaskan perkembangan BRICS ini jelas menunjukkan usaha Malaysia untuk mengembangkan ekonomi negara ke serantau dunia dan meletakkan Malaysia setaraf atau bersaing dengan negara-negara maju yang lain.

“Ia tidak menghairankan kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mencari jalan penyelesaian terbaik bagi membangunkan serta memulihkan ekonomi negara untuk berdiri seiring atau bersaing bersama negara-negara lain,” ujarnya.

BRICS yang ditubuhkan pada 2009 berperanan sebagai platform kerjasama ekonomi sedang pesat membangun yang merangkumi Brazil, Rusia, India dan China manakala Afrika Selatan menyertai kumpulan tersebut pada 2010.

BRICS mengembangkan keahliannya merangkumi Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu.

Malah, BRICS kini menyumbang satu perempat daripada ekonomi global merangkumi satu perlima daripada perdagangan global dengan populasi mewakili kira-kira 40 peratus penduduk dunia.

Terdahulu, media melaporkan, dalam wawancara bersama pengasas media China Guancha, Li Shimo, Anwar menyatakan Malaysia akan memulakan prosedur rasmi untuk menyertai BRICS.

Malah, baru-baru ini Anwar juga mengesahkan telah menyatakan hasrat untuk menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Malaysia terbuka untuk menyertai blok ekonomi organisasi antara kerajaan BRICS.

“Kita akan tunggu untuk mulakan perbincangan selanjutnya mengenai BRICS seperti dinyatakan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Selain itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata antara faktor Malaysia mahu menyertai BRICS adalah bagi membolehkan ruang menyuarakan pelbagai isu di peringkat antarabangsa dapat dilakukan dengan lebih efektif. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas