Berita

BRICKS semakin berpengaruh faktor Malaysia mohon sertai

- Diterbit 22 November 2024 3:21 PM MYT

KERAJAAN telah mengikuti perkembangan BRICS dengan rapat sebelum menzahirkan hasrat Malaysia menyertai BRICS pada 13 Jun 2024 kata Menteri Luar Negara, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Katanya, BRICS merupakan sebuah Organisasi Antara Kerajaan yang semakin berpengaruh dan ia bertujuan meningkatkan jalinan kerjasama ekonomi sesama Negara Anggota.

“BRICS juga memperjuangkan agenda, dengan izin, Global South dalam menangani ketidakseimbangan pembangunan ekonomi antara negara-negara maju dengan negara-negara membangun,”katanya ketika menjawap soalan Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PAS-Kemaman) di parlimen.

Tegas Mohamad, Malaysia komited untuk memajukan agenda Global South dalam memperluaskan kerjasama Selatan-Selatan.

“Hasrat Malaysia untuk menganggotai BRICS adalah bertepatan dan strategik dalam menyerlahkan lagi keterlihatan Malaysia di persada antarabangsa, lebih-lebih lagi ketika Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia.

“Keanggotaan Malaysia dalam BRICS akan membuka peluang-peluang perniagaan dan pelaburan yang baharu,”katanya.

BRICS yang dianggotai oleh sembilan buah negara dengan saiz pasaran kumulatif hampir 3.2 bilion penduduk, mampu memperluaskan akses pasaran produk dan perkhidmatan Malaysia ke Negara Anggota BRICS, serta meningkatkan perdagangan dan pelaburan langsung asing. Ini sekali gus dapat mengimbangi kebergantungan negara kepada pasaran tradisional sedia ada. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas