Berita

Brickfields model bandar selamat KL

PEMEGANG taruh dan komuniti Brickfield mengadakan pemukiman untuk mencapai sasaran bandar selamat.
- Diterbit 12 Julai 2024 10:10 AM MYT

USAHA yang dilaksanakan bagi mencapai agenda CHASE City seperti yang digagaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dirintis menerusi pemukiman pembentukan jawatankuasa wawasan masyarakat.

Ketua Pegawai Perancang Bandar merangkap Urusetia LA21 Kuala Lumpur, Norazmin Adibah Othman berkata komuniti bersepakat dan bersetuju wawasan masyarakat bagi program bandar selamat dengan moto Brickfields Towards A Safer, Vibrant, Inclusive & Sustainable City.

“Ia menggariskan lima perkara iaitu Selamat Untuk Mobiliti dan Aksesibiliti; Selamat Untuk Penggunaan Ruang Awam; Selamat Untuk Komuniti, Wanita dan Kanak-Kanak; Selamat dan Mesra Alam Sekitar dan Selamat Untuk Perniagaan & Pelaburan,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Norazmin berkata objektif bandar selamat ini bagi membentuk komuniti yang bersama-sama memainkan peranan untuk mencapai persekitaran bandar yang selamat merangkumi pelbagai aspek.

“Antara perkara yang menjadi fokus adalah penambahbaikan dan pemantauan penyelenggaraan infrastruktur, mengurangkan aspek risiko kemalangan, meningkat keselamatan lalu lintas, meningkatkan aksesibiliti dan keselamatan orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Beliau berkata Local Agenda 21 KL menggunakan pendekatan dari bawah ke atas melibatkan usaha komuniti bersama-sama pihak berkepentingan  dari aspek komunikasi dan interaksi antara komuniti penduduk atau badan bukan kerajaan (NGO) setempat.

“Pihak berkepentingan dan pihak berkuasa dijemput menganggotai Jawatankuasa Bandar Selamat LA21. Ia bertujuan untuk bersama-sama mencari kaedah menangani isu-isu setempat selain mengemukakan cadangan dan seterusnya mengambil tindakan secara bersama.

“Melalui pemukiman dan mesyuarat input pemegang taruh direkod dan dibincang bersama Jabatan DBKL yang bertanggungjawab serta turut bersama-sama membincangkan aktiviti atau program yang boleh dilakukan untuk kebaikan dan keselamatan penduduk Brickfields,” katanya.

Menurut Norazmin, antara langkah keselamatan khusus atau penambahbaikan infrastruktur yang telah diperkenalkan di Brickfields adalah menambah baik dan membina laluan serta siar kaki yang lebih selamat dan memasang pagar anti panjat di lokasi bersesuaian.

“Selain itu, pihak berkuasa turut memasang cermin keselamatan di tempat yang ada bank, memasang lampu jalan yang terang di lorong belakang kedai, memasang bollard untuk menghalang kenderaan parkir di atas siar kaki.

“Jawatankuasa ini turut membina pondok polis di NU Sentral, membina bonggol jalan untuk memperlahankan kenderaan, meminta pihak polis atau agensi yang melaksanakan penguatkuasaan mengadakan rondaan yang kerap bagi mengurangkan kadar jenayah,” katanya.

Ujarnya, melalui usaha berkenaan kadar jenayah telah berkurangan dengan drastik khususnya jenayah berat menjadikan kawasan itu lebih selamat berbanding sebelum ini.

“Melalui program-program kesedaran serta pembabitan aktif komuniti yang prihatin telah memainkan peranan dalam mengambil berat terhadap kawasan setempat sekali gus berjaya mewujudkan suasana persekitaran bandar selamat,” katanya.

“Melalui program-program kesedaran serta pembabitan aktif komuniti yang prihatin telah memainkan peranan dalam mengambil berat terhadap kawasan setempat sekali gus berjaya mewujudkan suasana persekitaran bandar selamat,” katanya. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas