Berita

Bot bawa penumpang tanpa lesen ditahan APMM

- Diterbit 25 November 2024 4:26 PM MYT

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan menahan sebuah bot penumpang di kedudukan 0.10 batu nautika dari Timur Dermaga Liberty Baru, Labuan lebih kurang pukul 9.50 pagi, semalam.

Menurut Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi Idros, pasukannya sedang melaksanakan rondaan OP SEJAHTERA di sekitar perairan Labuan telah menahan sebuah bot penumpang dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan secara menyeluruh mendapati bot tersebut membawa penumpang dari Menumbok ke Labuan.

“Bot tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 dan Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga 2008 (Kapal Kecil Berlesen Sabah) iaitu berlayar keluar dari had pelayaran yang dibenarkan dan salah guna lesen (membawa penumpang),”katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Tambahnya, nahkoda serta bot ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Labuan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Izwanhadi berkata, orang ramai boleh menyalurkan maklumat aktiviti jenayah di laut dengan terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam setiap hari. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas