Berita

Borneo Art Festival kukuh kepelbagaian budaya

- Diterbit 30 September 2024 10:35 AM MYT

PENGANJURAN Borneo Art Festival (BAF) bertaraf antarabangsa merupakan satu jambatan penting yang dapat memperkuatkan kepelbagaian budaya dalam negara.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, BAF adalah contoh bagaimana seni dan budaya dapat diangkat sebagai elemen penting dalam membina kerjasama serantau khususnya melalui kerjasama antara negara BIMP-EAGA, yang melibatkan Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina.

Katanya, dengan penganjuran festival berprestij itu secara tidak langsung menonjolkan kekuatan diplomasi budaya yang terjalin di antara Labuan dengan negara-negara tersebut.

“Saya melihat program seperti ini bukan sekadar sebagai sebuah perayaan seni tetapi juga sebagai pemacu kepada perkembangan ekonomi dan pelancongan di Labuan.

“Dengan penganjuran festival ini juga, secara tidak langsung, kita dapat mencungkil bakat-bakat seni tempatan serta boleh dikembangkan dan dipromosikan sehingga ke peringkat antarabangsa sekali gus memperluaskan lagi pengaruh seni serantau.

“BAF merupakan jambatan penting yang dapat memperkuatkan lagi hubungan antara negara ini yang mana seni budaya dijadikan sebagai medium untuk mengeratkan perpaduan serantau,” katanya selepas merasmikan Majlis Apresiasi Malam Penutupan Borneo Art Festival di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan Labuan semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Noridah Abd Rahim.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata dengan kedudukan geografi Labuan yang strategik, beliau yakin Labuan berpotensi menjadi destinasi pelancongan dan mencapai peningkatan kedatangan pelancong luar (tourist receipts).

Katanya, berdasarkan rekod Tourism Malaysia pada separuh pertama tahun 2024, Malaysia mencatatkan ketibaan pelancong yang signifikan iaitu seramai 11.8 juta orang yang menunjukkan peningkatan sebanyak 28.9 peratus berbanding tempoh yang sama.

“Saya yakin Labuan berpotensi untuk turut menyumbang kepada angka-angka pelancongan yang telah saya sebutkan tadi. Sektor pelancongan budaya merupakan salah satu sektor yang turut boleh dikembangkan sebagai salah satu produk pelancongan yang
berpotensi selain produk pelancongan sedia ada,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas