Artikel

Borak isu hangat dalam Padu Podcast

- Diterbit 19 Julai 2024 11:20 AM MYT

AUDIO siar, digital audio atau podcast adalah program sembang atau bual menerusi medium audio digital dan amat popular di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Australia, tetapi belum begitu meluas di Malaysia sebelum ini.

Namun kebelakangan ini ia menunjukkan trend peningkatan apabila munculnya pelbagai siaran podcast baik daripada pempengaruh, selebriti mahupun ahli politik.

Menerusi podcast, kita akan mendengar orang bercakap dan bercerita tentang sesuatu sama ada dalam bentuk siri perbincangan, ulasan, puisi, muzik, buku audio, berita atau dokumentari.

Masyarakat kini lebih memilih medium tersebut sebagai media yang digunakan untuk mengakses maklumat, hiburan dan pembelajaran.

Selain itu, podcast juga memberikan keunikan tersendiri berbanding radio dengan kelebihan utamanya adalah membolehkan pendengar memilih topik diminati dengan mudah kerana dikelompokkan mengikut kategori.

Digital audio yang dihasilkan dalam bentuk rakaman ini mula diperkenalkan sejak 2004 dan dalam memanfaatkan trend terkini serta kelebihan podcast, YWP Media Sdn Bhd juga tidak ketinggalan mewujudkan platform audio siarnya tersendiri yang bermatlamatkan untuk berkongsi maklumat dan pengetahuan kepada pendengar.

Menurut Pengerusi YWP Media Sdn Bhd, Datuk Afdlin Shauki Aksan, Padu Podcast membicarakan mengenai isu semasa yang menjadi bualan netizen di dalam media sosial khususnya.

“Setiap minggu kita akan berborak bersama seorang panel atau pakar mengenai satu topik yang menarik dan akan kupas dengan lebih mendalam sama ada berkenaan punca berlakunya perkara tersebut, kesan serta cara terbaik untuk atasinya.

“Dari segi persembahan, saya boleh katakan mungkin ada sedikit hiburan atau jenaka namun pemilihan topik adalah serius kerana kami ingin Padu Podcast ini berdiskusi dengan masyarakat tentang perkara berat yang harus dibincangkan secara umum,” katanya kepada Wilayahku.

Mengulas lanjut, Afdlin berkata sasaran pendengar Padu Podcast adalah mereka yang ingin mengetahui berkenaan isu semasa yang dikupas dengan lebih mendalam bersama pakar terpilih.

“Objektif kami sangat terang iaitu mahu memberi pemahaman serta pencerahan kepada mereka yang mendengar.

“Selain itu, pemilihan panel adalah terdiri daripada mereka yang merupakan pakar dalam sesuatu bidang dan berkait rapat dengan topik yang dipilih manakala pemilihan topik pula adalah berdasarkan betapa panasnya isu tersebut serta menjadi buah mulut netizen sama ada dalam mahupun luar media sosial.

“Sebagai contoh sekarang ini sedang hangat berkenaan kutipan derma daripada orang yang membawa penjenamaan Islam. Mungkin kita akan bincangkan perkara tersebut bersama seorang ustaz atau sesiapa yang berkenaan kerana saya percaya masyarakat perlu mengetahui apa yang boleh dan tak boleh serta perkara ini sangat penting untuk kita beri pemahaman kepada mereka di luar sana agar mengetahui cerita kedua-dua belah pihak terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman seperti menghina atau banned mana-mana individu atau syarikat,” jelasnya.

SEGMEN KHUSUS

Berkongsi lanjut, Afdlin berkata untuk siaran pertama Padu Podcast, pihaknya membincangkan berkenaan penderaan kanak-kanak yang menjadi tumpuan masyarakat selepas insiden kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan yang ditemui maut pada Jun lalu.

“Bagi topik berkenaan, kita telah menjemput Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim yang juga merupakan mantan pegawai di Polis Diraja Malaysia (PDRM). Beliau juga ada berkongsi sedikit berkenaan kes Zayn Rayyan serta membincangkan secara umum bagaimana orang ramai boleh mengenal pasti sekiranya kanak-kanak tersebut sedang mengalami penderaan atau dipukul oleh kedua ibu bapa.

“Itu adalah antara perkara yang kita tekankan di dalam podcast kerana saya percaya amat penting untuk mengetahui tanda-tanda tersebut supaya kanak-kanak itu dapat diselamatkan sebelum berlakunya sesuatu perkara yang lebih teruk sebagaimana kes-kes yang pernah dilaporkan media kini,” ujarnya yang juga merupakan moderator dalam Padu Podcast.

Menyedari trend mewujudkan siaran podcast yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan di negara ini, Afdlin berkata tujuan utama Padu Podcast bukanlah untuk bersaing dengan mana-mana siaran podcast yang lain.

“Seperti yang saya tekankan sebelum ini matlamat utama kita adalah untuk membawa topik yang diharapkan mendapat minat daripada pendengar dengan sendirinya iaitu dengan mengutarakan topik-topik semasa serta menjadi wadah buat masyarakat berdiskusi bersama profesional.

“Sasaran utama kami adalah untuk memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Padu Podcast bagi berkongsi sedikit maklumat mengenai apa yang sedang beliau usahakan serta harapan terhadap rakyat Malaysia. Semoga suatu hari nanti ia bakal menjadi kenyataan,” katanya.

Tambah beliau, Padu Podcast akan mula bersiaran pada minggu pertama Ogos 2024 menerusi platform media sosial Wilayahku di YouTube, Facebook dan TikTok.

Berkongsi mengenai perancangan akan datang, Afdlin berkata pihaknya dalam perancangan untuk menambah segmen pengkhususan dalam masa terdekat.

“Akan terdapat penambahan podcast sebagai contoh pengkhususan untuk segmen hiburan, berita, hal ehwal semasa dan mungkin akan ada satu podcast dalam bahasa Inggeris,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas