Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
IBU kembali ke pangkuan Ilahi pada 2008 selepas 24 tahun saya meninggalkan kampung kerana merantau ke Kuala Lumpur. Ibu dan ayah sangat gembira apabila saya mendapat kerja di Kuala Lumpur, bagaimanapun tetap bersedih terpaksa berpisah pada jarak yang jauh.
Kedua-dua mereka adalah pendiri kerjaya dan pelurus kehidupan saya di Kuala Lumpur. Suatu yang saya tidak pernah lupa tatkala ibu melurutkan gelang emas yang seutas di lengan untuk digadai buat belanja awal di rantau orang. Mereka tidak berharta, gelang nipis itu antara yang ada.
Sekalipun dipisah lebih 500 kilometer, saya memastikan paling lama dua bulan sekali akan balik ke kampung menjenguk ibu. Kalau saya terlambat, ibu pula ke Kuala Lumpur seorang diri dengan segala buah tangan dari kampung. Ibu buta huruf tetapi sangat cekal dan yakin.
Cuma pada dua tahun terakhir hayatnya saya pulang sebulan sekali dengan kereta buruk yang terhenjut-henjut dan hampir lerai untuk bertemu ibu. Kudratnya hilang mendadak dan sebulan sekali tidak pernah gagal sekalipun sibuk dengan urusan kerja dan keluarga.
Memang agak melelahkan apabila bergerak pulang selepas habis kerja pada larut malam untuk memastikan paginya sudah berada di depan ibu. Dua tahun terakhir itulah fasa kritikal ibu diserang dementia yang kronik, tidak berupaya menguruskan diri dan tidak kenal semua anak-anaknya termasuk saya.
Pada mulanya saya juga rasa kehilangan ibu yang dulu banyak bercakap dan saya menjadi pendengar yang setia. Dulu sangat terhibur mendengar suara ibu dan saya terimbau masa lalu zaman kanak-kanak yang manis. Tetapi selepas direntap dementia ibu menjadi pendiam dan pandangannya kosong.
Walaupun sudah tidak mengenali saya, tetapi detik-detik manis bersamanya dulu sedikit pun tidak terpadam. Saya pula yang mengajak berbual, tetapi ibu diam tanpa reaksi dan seperti saya tidak ada di depannya. Terasa terlalu pantas ibu ‘hilang’ sebelum kepulangan yang abadi.
Ibu sudah hilang semua masa silamnya termasuk yang manis bersama-sama saya dan anak-anak yang lain. Bagi manusia kenangan adalah milik peribadi yang tidak pernah susut nilainya. Hanya kenangan yang boleh membawa manusia menziarah ke daerah-daerah ingatan masa lalu. Tetapi ibu sudah tidak lagi punya masa silam, kenangan dan segala-galanya di sepanjang usianya.
Setiap kali melihat keadaan ibu saya sering bertarung dengan sebak yang tertahan-tahan. Sekalipun begitu berada depan ibu menjadikan detik dan waktu seolah-olah terhenti – saya kembali pada zaman kanak-kanak yang melimpah dengan kasih sayang.
Hubungan jiwa antara ibu dengan anak-anaknya adalah suatu yang sangat unik, dan semua pengorbanan yang dicurahkan biarpun yang boleh mengancam nyawa pun tidak pernah dibayangkan akan balasannya. Semua yang dilakukan itu kerana dia seorang ibu yang sentiasa terhubung dengan semua anak-anaknya.
Ahad lalu (12 Mei) adalah Hari Ibu. Seminggu sebelum itu sudah banyak gedung yang mempromosi barangan yang ‘sepatutnya’ dibeli dan dihadiahkan kepada ibu. Seolah-olah anak-anak itu tidak tahu memilih mengikut seleranya. Seperti tahun-tahun sebelumnya antara barangan yang menjadi tumpuan adalah kain tudung, baju dan tidak kurang telekung berjenama.
Hotel dan restoran mewah juga tidak ketinggalan mempromosi sambutan Hari Ibu. Tujuannya supaya orang ramai memilih premis berkenaan untuk meraikan Hari Ibu. Begitulah orang berniaga, apa sahaja yang boleh atau berpeluang mendatangkan laba, itulah yang diutama.
Tidak ada salahnya sesekali berbelanja sebagai apresiasi kepada ibu. Malah tidak ada halangan untuk merayakan Hari Ibu dan menghadiahkan sesuatu yang mahal atau menikmati juadah di restoran mewah. Cuma biarlah tidak berlaku kerak melebihi periuk, kalau diketahui ibu tentu sangat sedih hatinya.
Buatlah sekadar yang termampu dan harus pula memastikan supaya tidak terjerat dengan kempen berbelanja sebagai satu gaya hidup. Itu suatu sikap yang kurang baik apa lagi menjurus kebendaan dan berlumba-lumba dengan orang lain. Sebaliknya Hari Ibu boleh sahaja digunakan sebagai ruang waktu untuk anak-anak menghargai ibu masing-masing.
DUA NISAN KAKU
Ruang itu penting supaya terulang detik-detik lampau yang manis dan mendengar semahunya ibu berbicara tentang semua yang mahu diperkatakannya. Hari Ibu adalah kesempatan menghentikan seketika rutin dan benar-benar tertumpu pada sosok yang amat berjasa itu.
Sekalipun begitu, setiap hari pula seharusnya ada kesempatan menghargai ibu, maka yang perlu diingat adalah penghargaan itu tidak terbatas pada satu hari dalam setahun. Sebaliknya setiap detik adalah kesempatan menunjukkan kasih sayang, mengucapkan terima kasih dan mengingati pengorbanannya.
Pengorbanan pula tidak hanya terpancar pada tindakan zahir akan tetapi sesuatu yang tidak dapat dilihat tetapi dirasa umpamanya dalam diam ibu tidak henti-henti mendoakan perkara yang baik-baik untuk anak-anak. Semua yang diakukan itu tanpa mengharapkan balasan kerana kebahagiaan anak adalah harta berharga seorang ibu.
Oleh itu, sesekali jadilah pendengar yang baik kerana ada kalanya ibu hanya ingin berkata-kata yang tanpa mahu dihakimi. Biarkan dia bercerita sesuatu yang memberi kebahagiaan kepadanya. Tidak ada ruginya menunjukkan yang kita sangat menghargai kebijaksanaan dan pengalaman panjang yang dilaluinya.
Demikianlah berdirinya sosok seorang ibu yang setiap lekuk kehidupan terpatri kisah yang tidak kenal lelah demi anak-anak. Dengan sepenuh hati, ibu mengorbankan waktu, tenaga, bahkan kebahagiaan peribadi demi anak-anak yang disayangi. Tidak sekali pula menomborduakan anak demi kepentingannya sendiri.
Disebabkan itu, apabila memperkatakan tentang ibu, saya segera teringat pada puisi Ke Makam Bonda (1955) karya Sasterawan Negara Datuk Usman Awang. Puisi yang sayu dan sarat rindu itu bagai mewakili rasa jiwa sekelian yang bergelar anak terhadap ibu yang sudah tiada.
Dalam kenangan kami melihat
Mesra kasih bonda menatap
Sedang lena dalam rahap
Dua tangan kaku berdakapBibir bonda bersih lesu
Pernah dulu mengucupi dahiku
Kini kurasakan kasihnya lagi
Meski jauh dibatasi bumi
Petikan di atas adalah sebahagian daripada puisi Ke Makam Bonda yang memperlihatkan hubungan ibu dan anak tidak pernah terputus sekalipun telah ‘jauh dibatasi bumi.’ Anak-anak datang menumpahkan rindu yang tidak tertampung selepas kembalinya ibu ke pangkuan Ilahi.
Pusara atau makam yang diangkat dalam puisi ini untuk menunjukkan tinggi duduknya seorang ibu adalah pangkalan terakhir yang terzahir di mata anak-anak. Maka menziarahi pusara adalah melepaskan sarat rindu yang tertanggung selain tanda ingatan yang tidak pernah terpadam.
Demikianlah keramatnya kasih dan sayang ibu yang terus terhubung dengan anak-anak. Pesan ibu terus menjadi penyuluh dan kompas dalam menjalani kehidupan biarpun yang tinggal hanya dua nisan yang kaku berdiri.