Berita

Bola sepak menanti Faisal Halim

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 21 Jun 2024 4:40 PM MYT

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu memastikan pemain bola sepak kebangsaan dan Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim atau Faisal Halim pulih sepenuhnya sebelum kembali beraksi.

Beliau yakin bahawa pemain sayap berusia 26 tahun yang menjadi mangsa serangan asid itu sememangnya mempunyai tekad yang tinggi untuk kembali beraksi namun tidak mahu Faisal terburu-buru kembali ke padang.

“Saya nak pastikan beliau ambil masa dan pastikan betul-betul pulih sebelum keluar bermain kerana saya rasa bola sepak akan menunggu Faisal.

“Saya harap beliau jangan tergesa-gesa, pastikan beliau sembuh sepenuhnya kerana bola sepak perlukan beliau,” ujar beliau.

Pada 5 Mei lepas, atlet kelahiran Pulau Pinang itu dilaporkan mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.

Seterusnya pada 25 Mei, Selangor FC menerusi kenyataan mengesahkan pemain sayapnya itu dibenarkan keluar dari sebuah hospital swasta di sini selepas menjalani empat pembedahan susulan insiden berkenaan.

Faisal yang membuat penampilan pertama di khalayak umum sejak insiden itu pada sidang media baru-baru ini mengakui rindu untuk beraksi di atas padang namun mahu memberikan fokus terhadap proses pemulihan terlebih dahulu.

Sehingga sekarang polis masih belum dapat mengenal pasti motif kejadian simbah asid melibatkan tonggak utama Selangor FC dan Harimau Malaya itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas