Berita

BNM, KKM akan kawal kenaikan premium insurans elak peningkatan inflasi

Gambar hiasan
- Diterbit 10 Disember 2024 1:40 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengawal premium insurans supaya kenaikannya tidak terlalu tinggi sehingga menimbulkan masalah kepada pesakit dan menyumbang kepada peningkatan inflasi.

BNM bersama Perbendaharaan dan Kementerian Kesihatan kini sedang meneliti dan akan mengeluarkan panduan yang agak tegas supaya Medical And Health Insurance and Takaful (MHIT) dan Insurers and Takaful Operators (ITO) mengambil kira beberapa hal.

“Kenaikan berpunca daripada treshold yang lebih rendah di Malaysia dan kos perubatan serta perkhidmatan yang tinggi, itu penjelasan daripada syarikat insurans.

“Bagaimanapun KKM dan BNM sedang menyelaraskan supaya kenaikan kenaikan itu dianggap munasabah dan tidak membebankan,” katanya yang menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) di Dewan Rakyat.

Suhaizan bertanya mengenai langkah kerajaan mengatasi masalah kenaikan premium insurans perubatan antara 40 hingga 70 peratus, serta kadar inflasi kos perubatan negara yang mencapai 12.6 peratus pada 2023, iaitu lebih dua kali ganda berbanding purata global sebanyak 5.6 peratus.

Tambah Perdana Menteri lagi, bagi mengawal pembelian ubat yang selama ini dimonopoli syarikat tertentu selama puluhan tahun, kerajaan akan membatalkan beberapa komitmen kepada 1 ke 2 syarikat saja.

“KKM seperti mana beberapa negara lakukan, akan menjelajah ke beberapa negara supaya mendapat ubat generik yang lebih murah dan berpatutan.

“Ubat generik ini lebih terkenal di Brazil, India dan China umpamanya yang dikaji dan tidak semestinya terikat dari Amerika atau Eropah yang kosnya terlalu tinggi,” kata Anwar.

Selain itu, kerajaan juga akan mengawal kos Diagnosis Related Group (DRG) di negara ini yang masih belum ada lagi kawalan tentang menstandardkan kos.

“Selama ini pakar yang menentukan kos tetapi ada garis panduan DRG ini tentang apakah munasabah kos untuk MRI atau CT Scan sedemikian yang ditentukan, jadi ini harus dikawal,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas