Berita

BN akan pertahan kerusi DUN Mahkota

- Diterbit 8 September 2024 11:51 AM MYT

PEMILIHAN Ketua Pemuda UMNO Kluang Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota adalah tepat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata pengumuman dibuat itu penting untuk semua pihak menerima keputusan dibuat BN untuk mencalonkan Syed Hussien.

“Walaupun kerusi ini secara tradisinya dulu kerusi Wanita UMNO tetapi saya kira presiden telah mengambil kira banyak faktor.

“Saya yakin dan percaya mesti ada kerusi yang akan diganti nanti,” katanya.

Terdahulu, Syed Hussien dipilih sebagai calon BN bagi PRK Mahkota 28 September ini.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon BN PRK Mahkota hari ini.

Onn Hafiz berkata, pemilihan itu dibuat selepas perbincangan dan persetujuan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahamd Zahid Hamidi.

Sementara itu, Sharkar berkata pemilihan Syed Hussien adalah disebabkan beliau merupakan Ketua Pemuda Bahagian Kluang.

Beliau berkata kelebihan Syed Hussien yang pandai bercakap dalam bahasa Cina juga memberi kelebihan kepada BN.

“Dari segi optiknya bagus. Di dalam UMNO kita nak ucap terima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday yang memberi laluan.

“Ini satu optik baik di mana memberi muka baharu ke depan. Tidak lagi secara tradisi mesti ketua bahagian, timbalan ketua bahagian dan naib ketua bahagian (bertanding).

“Siapa sahaja di kalangan UMNO yang dirasa layak boleh jadi calon,” katanya.

Mengulas lanjut, Sharkar berkata BN sudah tentu ingin pertahankan kerusi DUN Mahkota dan menang dengan majoriti lebih baik lagi daripada sebelum ini.

Beliau berkata kombinasi antara Pakatan Harapan (PH) dan BN diharap akan memberi kemenangan yang lebih besar lagi.

“Kemenangan di PRK DUN Mahkota akan memberi momentum yang baik kepada rakyat.

“Rakyat akan lihat Kerajaan Perpaduan ini boleh diterima oleh majoriti penduduk Malaysia. Ukurannya di Pilihan Raya,” katanya.

Sharkar turut berharap parti Amanah memberi komitmen yang baik di PRK DUN Mahkota.

“Dua PRK di Johor sebelum ini calon Amanah bertanding dan kita telah tunjuk kesungguhan kita sehingga berjaya pertahankan kerusi itu.

“Kali ini pun diharap semangat sama dapat diterjemahkan,” katanya.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas