SEBANYAK lima kawasan perumahan telah berjaya memperolehi penarafan Gred A bagi pelaksanaan Blueprint Penarafan Kebersihan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) bagi Fasa 3/2022 dan Fasa 4/2023.
Antara kawasan tersebut ialah satu di Kepong Baru di Parlimen Kepong, Jalan Berangan di Parlimen Bukit Bintang (1), Jalan Wangsa Delima di Parlimen Setiawangsa (1) serta Jalan Jujur, Taman Mulia dan Jalan Dwitasik di Parlimen Bandar Tun Razak (2).
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri PMgr Sr Kamarulzaman Mat Salleh berkata penarafan tersebut diberikan bagi mengiktiraf peranan agensi dan masyarakat yang berusaha bagi mencapai matlamat dan aspirasi KL Bersih dan Indah.
“Pelaksanaan Blueprint Penarafan Kebersihan WPKL ini bertepatan dengan mandat dan aspirasi DBKL yang bermula dengan dua kawasan tumpuan ramai iaitu Blueprint Kebersihan kawasan Bukit Bintang pada Disember 2012 dan Blueprint Kebersihan kawasan Daerah Petaling pada Disember 2013.
“Program ini dilaksanakan bagi menaik taraf status kebersihan serta keindahan Bandar Raya Kuala Lumpur dan ia diwujudkan bagi mendapat satu penanda aras (benchmark) status kebersihan dan keindahan Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian di dalam satu teks ucapan yang disampaikan oleh Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi), Ismadi Sakirin pada Malam Apresiasi Blueprint Penarafan Kebersihan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah beliau, kejayaan Blueprint ini mengambil kira komponen utama masyarakat setempat yang melibatkan pelbagai pihak yang berkepentingan ataupun (stakeholders).
Jelasnya lagi, terdapat lima elemen utama dalam pelaksanaan Blueprint Penarafan Kebersihan WPKL.
“Antaranya ialah kolaborasi antara agensi dan pihak berkepentingan, penambahbaikan infrastruktur, pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, penguatkuasaan bersepadu serta kesedaran awam terhadap program kebersihan yang dijalankan,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Kamarulzaman, penarafan kebersihan kawasan adalah berdasarkan empat kriteria utama.
“Empat kriteria tersebut adalah aspek kebersihan sebanyak 30 peratus, aspek penglibatan komuniti (30 peratus), aspek infrastruktur (20 peratus) dan aspek persekitaran sebanyak (20 peratus).
“Malah empat standard utama telah dikenal pasti iaitu bagi gred A atau lima bintang, gred B empat bintang, gred C tiga bintang dan gred D dua bintang sahaja,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut merakamkan penghargaan terhadap semua pihak yang bertungkus lumus dalam memastikan persekitaran Kuala Lumpur terus kekal bersih dan mampan.
“Saya berasa sangat bangga dengan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan semua pihak dalam usaha memastikan penyelenggaraan persekitaran Kuala Lumpur yang mampan.
“Saya yakin dengan komitmen dan kerjasama semua pihak, usaha seumpama ini dapat memberikan impak positif kepada warga kota dan alam sekitar khususnya di bandar raya Kuala Lumpur ini.
“Marilah kita bersama-sama berganding bahu menjayakan program ini demi menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar C.H.A.S.E City iaitu Clean City, Healthy City, Advanced City, Safe City dan Eco-Friendly City,” katanya. – WILAYAHKU