KESIHATAN rakyat adalah aset utama negara dan hanya melalui masyarakat yang sihat, Malaysia dapat berkembang sebagai sebuah negara yang progresif, sejahtera, harmoni dan berdaya tahan.
Sehubungan itu, Program Komuniti Sihat Sejahtera dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran kesihatan yang menyeluruh dalam kalangan komuniti merangkumi aspek fizikal, mental, emosi dan spiritual.
Ketua Jururawat Klinik Kesihatan Presint 11, Putrajaya, Raslinaly Ramly berkata, penganjuran program ini diharap dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan.
“Dengan memahami dan mengamalkan gaya hidup sihat, komuniti dapat mencapai kesejahteraan lebih baik dan menjalani kehidupan berkualiti,” ujarnya.
Menurut beliau, program anjuran pelajar Sarjana Muda Kejururawatan (Separuh Masa) dari Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Selangor, Cawangan Puncak Alam ini adalah julung kali diadakan bersama komuniti di Putrajaya.
“Ini merupakan satu langkah inovatif bagi pelajar melibatkan diri secara langsung dalam program kesihatan komuniti, sekali gus mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam situasi sebenar.
“Selain itu institusi pendidikan seperti Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (3) turut mengambil bahagian dalam program persembahan oleh para pelajar.
“Kehadiran pelajar dan guru bukan sahaja membantu dalam penyebaran maklumat kesihatan, tetapi memberikan pengalaman pembelajaran bermakna bagi semua yang terlibat.
“Kerjasama antara pelbagai agensi seperti klinik kesihatan, jabatan kerajaan dan komuniti setempat adalah kunci kejayaan program ini. Dengan sokongan daripada pihak berwajib dan penyertaan aktif komuniti, program ini dapat dijalankan dengan lebih efektif.
“Penyertaan terbuka kepada semua lapisan masyarakat serta kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun.
“Pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk sesi pendidikan kesihatan mengenai kanser, demonstrasi pertolongan cemas, pemeriksaan payudara dan saringan kesihatan,” katanya.
[Iklan]