BILANGAN penganggur terus berkurang kepada 551,400 berbanding 555,300 orang pada bulan sebelumnya sekali gus merekodkan penurunan sebanyak 0.7 peratus (%).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, menurut Statistik Tenaga Buruh Oktober 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.2% kepada 16.72 juta orang pada Oktober lepas daripada 16.69 juta orang direkodkan pada September.
“Kadar pengangguran tidak berubah pada Oktober 2024 iaitu pada 3.2%, sama seperti bulan sebelumnya dan kadar penyertaan tenaga buruh pada Oktober 2024 kekal pada 70.5% seperti yang direkodkan pada bulan lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau mengenai situasi guna tenaga, kategori pekerja merangkumi 74.9% daripada jumlah penduduk bekerja dengan kumpulan terbabit mencatatkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 0.1%, mencecah kepada 12.53 juta orang, berbanding 12.51 juta orang pada bulan sebelumnya.
“Begitu juga, penduduk bekerja sendiri berada pada trend menaik, meningkat sebanyak 0.3% kepada 3.10 juta orang (September 2024: 3.09 juta orang),” katanya.
Mohd Uzir berkata penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan meliputi 79.8% daripada jumlah penganggur.
“Kategori berkenaan menunjukkan penurunan sebanyak 0.8% kepada 440,000 orang (September 2024: 443,500 orang). Begitu juga, mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif turun sebanyak 0.4%, mencatatkan 111,400 orang (September 2024: 111,800 orang),” katanya.
Beliau berkata kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun turun sebanyak 0.1% kepada 10.4% pada Oktober 2024, merekodkan 301,500 penganggur belia (September 2024: 10.5 peratus; 304,200 orang).
“Bagaimanapun kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun tidak berubah iaitu pada 6.3%, dengan 420,200 penganggur belia berbanding bulan sebelumnya (September 2024: 6.3 peratus; 420,100 orang),” ujarnya. – WILAYAHKU