PENGARAH popular Shuhaimi Lua mengaku bukan mudah untuk menarik minat masyarakat menonton sesebuah drama televisyen.
Apatah lagi mereka mempunyai banyak pilihan misalnya menonton drama tempatan atau antarabangsa yang disiarkan di platform digital seperti Netflix.
Bagi Shuhaimi, pengarah sendiri perlu kreatif mewarnai watak agar lebih menarik dan menonjol seterusnya menarik ramai penonton.

Terbaru, Shuhaimi mempertaruhkan tubuh seksi pelakon Noki dalam drama bersiri arahannya, Oh My Hantaran yang akan disiarkan di TV9 tidak lama lagi.
“Tak dinafikan, ada beberapa adegan Noki tidak berbaju dan hanya memakai seluar pendek. Saya yakin, bila tayang tubuh seksi, baru ramai nak tengok.
“Namun, adegan buka baju itu hendaklah bersesuaian dengan watak yang dilakonkan. Misalnya ketika mandi di sungai.
“Takkan nak mandi pun pakai tutup semua. Bagi pemuda kampung, adalah menjadi kebiasaan mandi sungai tanpa baju dan berseluar pendek,” katanya yang berpuas hati dengan lakonan Noki walaupun pertama kali berlakon.

Menurut Shuhaimi, Noki seorang yang berbakat dan rajin untuk belajar di lokasi penggambaran.
“Senang cakap, Noki ni mudah diajar dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik. Dia suka bertanya dan membuat research sebelum melakonkan sesuatu babak.
“Tambahan pula, Noki mempunyai pakej seperti wajah kacak ala artis Korea, tubuh sado, fotogenik dalam kamera dan sebagainya,” jelasnya lagi.
Drama bersiri Oh My Hantaran mengisahkan seorang pemuda bernama Mail (lakonan Noki) mahu berkahwin dengan Mira (lakonan Elisya Sandha).
Ayah Mira tidak menyukai Mail yang berasal dari keluarga miskin, sebaliknya mahu jadikan pemuda lain sebagai menantu.
Pelbagai usaha yang dilakukan oleh Mail untuk melembutkan hati Ayah Mira.
Nak tahu lebih lanjut, tunggu siaran drama bersiri Oh My Hantaran di TV9 tidak lama lagi. – WILAYAHKU