JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri MADANI dengan harga minimum bermula RM100 bagi menyemarakkan penghayatan Malaysia MADANI melalui nombor pendaftaran kenderaan masing-masing.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tawaran bidaan dibuka bermula 19 Oktober dan akan ditutup 23 Oktober ini melalui sistem JPJeBid.
Katanya, keputusan bidaan akan dikeluarkan pada 24 Oktober dan nombor pendaftaran yang berjaya dibida mesti didaftarkan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan.
“NPI siri MADANI merupakan inisiatif kerajaan dalam menyokong agenda MADANI secara tidak langsung mempromosikan nilai madani yang menjadi cerminan jiwa dan aspirasi negara dalam setiap langkah kehidupan rakyat Malaysia.
“Kaedah penawaran secara bidaan ini adalah tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang telah ditetapkan melalui sistem JPJeBid,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Aedy Fadly berkata, harga bidaan dalam JPJeBid adalah mengikut harga minimum yang ditetapkan iaitu nombor utama RM20,000, nombor premium (RM5,000), nombor menarik (RM2,500), nombor popular (RM500) dan nombor semasa (RM100).
Menurutnya, hasil penjualan NPI merupakan salah satu langkah untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah Kementerian Pengangkutan.
Katanya, ia merangkumi program MyLESEN, program pertukaran topi keledar, FlySISWA, Pembayaran PERKESO kepada pemandu teksi dan pelbagai inisiatif lain.
“Orang awam dialu-alukan untuk bersama menyokong hasrat kerajaan melalui penyertaan bidaan NPI dan seterusnya pemilikan nombor pendaftaran kenderaan siri MADANI,” katanya. – WILAYAHKU