Berita

Bidaah muncul drama nombor satu paling popular di platform penstriman

- Diterbit 26 Mac 2025 11:30 AM MYT

DRAMA kontroversi yang mencetuskan pertikaian penonton kerana watak intim antara Faizal Hussein dan Vanidah Imran, Bidaah muncul drama nombor satu paling popular di platform penstriman.

Bukan saja di Malaysia, drama yang disiarkan menerusi Viu itu turut popular di Viu Indonesia.

Drama dibintangi Fattah Amin, Faizal Hussein dan Riena Diana ini juga berjaya
memperoleh lebih daripada 134 juta tontonan serta 44 juta capaian di media sosial Viu
Malaysia.

Sejak ditayangkan pada 6 Mac lalu, drama terbitan Eirma Fatima itu bukan saja menduduki tempat pertama tetapi berjaya mengatasi drama bersiri Korea popular seperti Undercover High School, The Witch dan Study Group di platform Viu.

Di Indonesia secara umum, komen di media sosial menyatakan bahawa drama ini sangat relevan dan dekat dengan realiti kehidupan penonton Indonesia.

Bukan itu sahaja, data daripada Google Trends menunjukkan drama Bidaah juga menjadi antara carian paling popular di Thailand, Singapura, dan Brunei.

Bidaah mengisahkan Baiduri (Riena Diana), seorang wanita muda yang dipaksa oleh
ibunya, Kalsum (Fazlina Ahmad Daud), untuk menyertai Jihad Ummah, sebuah kumpulan agama yang dipimpin oleh Walid Muhammad (Faizal Hussein).

Namun, Baiduri segera menyedari terdapat banyak perkara mencurigakan di sebalik ajaran rohani kumpulan itu, termasuk perkahwinan paksa dan kepatuhan yang membuta tuli.

Kepulangan Hambali (Fattah Amin) dari Yaman, anak kepada orang kanan Walid, Abi
Saifullah (Hasnul Rahmat), membuatkan Baiduri semakin yakin bahawa ajaran Jihad
Ummah telah tersasar.

Bersama Hambali, Baiduri bertekad untuk melindungi ibunya dan membongkar kebenaran, walaupun nyawanya sendiri terancam.

Episod 1 hingga 9 siri ini kini boleh distrim di Viu, manakala enam lagi episod dengan setiap episod baru disiarkan setiap hari Khamis, Jumaat, dan Sabtu.

Bidaan boleh ditonton di aplikasi Viu, yang tersedia untuk dimuat turun secara percuma di App Store, Google Play, Galeri Aplikasi Huawei dan TV pintar terpilih, serta di web www.viu.com.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas