SERAMAI 29 pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) teruja menerima biasiswa pendidikan dari Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menerusi Majlis Penyampaian Cek Skim Biasiswa Pengajian Tinggi YWP di Wisma YWP, Kampung Baru.
Bantuan pendidikan menerusi Skim Biasiswa Pengajian Tinggi YWP tersebut khusus kepada pelajar terpilih di Wilayah Persekutuan yang melanjutkan pengajian sepenuh masa di peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi sesi 1, tahun 2020 dan 2021.
Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj berkata pihaknya bersyukur kerana pemberian skim biasiswa yang tertangguh disebabkan pandemik COVID-19 lalu, akhirnya dapat diberikan kepada para pelajar.

“Tajaan ini merupakan salah satu inisiatif YWP dalam pembangunan pendidikan dan diyakini mampu menjadi motivasi serta semangat kepada para pelajar untuk terus mendapatkan pendidikan yang terbaik.
“Jumlah pembiayaan keseluruhan bagi skim biasiswa pengajian ini adalah sebanyak RM110,914.50 dan nilai pemberian biasiswa kepada para pelajar adalah di antara RM3,000 hingga RM4,500 bagi satu semester setiap seorang,” ujar beliau baru-baru ini.
Tambahnya, pembiayaan tersebut merupakan dana bantuan Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP yang mana turut disumbangkan oleh UMW Holdings Berhad dan Tabung Haji.
“Saya harap sumbangan ini dapat menyuntik semangat para pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang pengajian masing-masing dan semoga akan menjadi pemimpin hebat untuk keluarga, masyarakat setempat dan juga negara pada masa hadapan,” kata beliau.
Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Shazleen Suhaila Abas, 23, berkata biasiswa tersebut memberi peluang kepadanya untuk meneruskan pembelajaran dengan sempurna tanpa perlu bimbang akan faktor kewangan.
“Terima kasih YWP, UMW Holdings Berhad dan Tabung Haji kerana memberikan biasiswa ini kepada saya. Saya sangat bersyukur,” katanya.
Bagi pelajar Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Amir Zulqarnain Mohamed Roslly pula, dia tidak menyangka akan menerima biasiswa tersebut dan gembira dapat membantu meringankan beban keluarganya.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada YWP dan seluruh pihak terlibat. Saya percaya, dengan ini ia akan memberi semangat buat semua pelajar untuk terus cemerlang,” ujarnya. – WILAYAH