Berita

‘Biarlah lawak menyanyi berulang-ulang daripada memerli’… Elly Mazlein tegur siapa tu?

- Diterbit 30 September 2024 6:00 AM MYT

KECOH dan menjadi bulan dalam media sosial apabila penyanyi dan pengacara popular, Elly Mazlein secara terbuka menegur seorang pengacara yang disifatkan masih tidak berpuas hati dengannya selepas mendakwa masih dijadikan bahan sindiran oleh pengacara itu.

Teguran itu pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 44, yang memaparkan video pendek hos terbabit bersama pengacara Haziq Hussni dalam sebuah program realiti.

“Biarlah lawak menyanyi berulang-ulang kalau dengan cara itu boleh menghiburkan. Daripada lawak ulang-ulang main nama bapa, memerli, membahan dan yang paling tak tahan lawak tahi lalat ‘chipsmore’ berulang dari musim pertama sampailah berpuluh musim.

“Inilah contoh hanya hiasan menutup bangkai di longkang. Penunggang 2024, sekian tajuk album. Lupakan aku dalam kepala otak kau boleh?,” katanya menerusi hantaran InstaStory miliknya.

Dalam masa sama, pelantun lagu Susah Disimpan Bara Yang Tersimpan itu berharap dia tidak ‘membahan’  orang lain dalam kerjayanya sebagai pengacara.

“Moga Kepom (Elly) tidak menjadi pengacara seperti ini suka membahan dan memerli. Moga kasih sayang terus kekal dalam diri Kepom buat selamanya buat sesama insan.

“Haziq Hussni buat yang terbaik ya, lebarkan sayapmu,” ujarnya.

Menerusi InstaStory itu, Elly turut menyimpan video tersebut dalam ruangan ‘highlight’ dengan tajuk Pengacara Sampah dan Penunggang 2024.

Menerusi video pendek yang dikongsikan, kelihatan pengacara Jihan Muse dan Haziq menyanyikan lagu Mengintai Dari Tirai Kamar nyanyian asal Exists.

Namun, nyanyian terhenti selepas Jihan menegur Haziq selepas melihat gaya lelaki itu yang didakwa berlebih-lebih kononnya seperti orang dikenalinya.

“Kejap-kejap, aku ingat ada seorang sahaja macam ini tau dalam Astro.

“Ada seorang versi perempuan, aku tak tahu kau dah muncul dalam Astro,” gurau Jihan.

Sebelum ini, Elly pernah menarik diri daripada mengacarakan sebuah program realiti yang turut dikendalikan Jihan dan Nabil Ahmad. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas