Berita

“Biar detektif netizen buat kerja,” Amira Othman

- Diterbit 3 Februari 2025 10:21 PM MYT

PENYANYI Amira Othman menyerahkan kepada netizen melakukan ‘siasatan’ berhubung dakwaan menerima notifikasi daripada aplikasi TikTok dipercayai milik duda ‘hot’, Fattah Amin.

Amira yang ditemui media baru-baru ini, terkedu apabila ditanya mengenai tangkap layar notifikasi itu yang tertera pada telefon bimbitnya.

Bagaimanapun penyanyi lagu Hati-Hati berusia 32 tahun itu enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Tak ada apa nak dicakapkan, lagipun saya bukanlah seorang yang suka berkongsi berlebih-lebihan mengenai perkara peribadi kerana tidak berapa selesa.

“Kalau tanya soal Fattah, memang tak ada apa yang saya nak komen. Apa yang kalian nampak, kami keluar bersama atas tuntutan kerja. Tapi tak adalah nak cakap kita tak berkawan langsung.

‘Tapi kalau pasal notifikasi tu, biarkan detektif netizen buat kerja. Buat masa ini saya memang tak ada sebarang kenyataan nak dibuat berhubung isu itu,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon drama rantaian Abang Bomba I Love You itu mengakui terhibur dengan gelagat netizen yang suka mengaitkannya dengan teraju utama filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu.

“Saya pun tak tahu nak cakap apa, kadang-kadang tanda suka dan stiker pun boleh jadi notifikasi juga.

“Ada masanya saya tergelak sendiri membaca andaian warganet mengenai hubungan saya dan Fattah. Macam-macam spekulasi yang timbul.

“Setahu saya, saya memang tutup notifikasi di media sosial. Sama ada notifikasi itu dari Fattah ataupun tidak, saya pun tak pasti. Mungkin kena periksa semula ,” jelasnya lagi.

Mereka mula rapat selepas terbabit dalam promosi daging perap sebuah jenama terkenal.

Selain itu, Amira turut mengundang Fattah tampil dalam video muzik single terbaharunya berjudul Bila Nak Kahwin.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas