BAHAGIAN Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengesahkan tidak menerima sebarang titah adendum daripada Istana Negara untuk Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani tahanan di rumah.
Agensi itu yang bertindak sebagai urusetia kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengesahkan tiada sebarang dokumen tambahan atau adendum yang berada dalam fail atau rekod rasmi di bawahnya.
“BHEUU JPM dan tidak menerima sebarang pemakluman atau arahan rasmi daripada pihak Istana Negara berhubung perkara ini.
“BHEUU JPM menegaskan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai mengenai kedudukan atau peranan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar dan berpotensi mengundang tindakan sewajarnya.
“Langkah ini penting bagi memastikan integriti Lembaga Pengampunan terpelihara serta maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut BHEUU JPM sentiasa komited dalam menjalankan tugas sebagai urus setia dengan penuh integriti, ketelusan, dan profesionalisme selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang sedia ada.
Katanya, segala urusan berkaitan dengan Lembaga Pengampunan telah dan akan terus dilaksanakan selaras dengan undang-undang dan prosedur yang telah ditetapkan. – WILAYAHKU