Berita

BFF 2025 anjakan baharu ekonomi

ZALIHA (enam dari kanan) ketika prapelancaran BFF 2025 di Labuan.
- Diterbit 19 April 2025 9:00 AM MYT
BORNEO Flora Festival 2025 (BFF 2025) yang julung kali dianjurkan pada 26 hingga 30 Julai ini bakal mencetuskan satu anjakan kepada sosioekonomi penduduk Labuan khususnya dalam sektor pelancongan.

TZE KHEE

Menurut Pengarah Urusan Hotel Tiara Labuan, Chai Tze Khee, pihaknya menyambut baik penganjuran BFF 2025 yang menjadi salah satu festival berprestij dengan Labuan sebagai tuan rumah.

Pihaknya sentiasa memberikan kerjasama kepada kerajaan khususnya Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Perbadanan Labuan untuk bersama-sama menjayakan festival tersebut.

“Kami sebagai antara pemain industri perhotelan amat teruja dan menyambut baik dengan penganjuran ini kerana dapat menarik lebih ramai pengunjung luar ke Labuan.

“Jika sebelum ini kadar pengunjung luar ke Labuan agak kurang dan kita berharap dengan festival baharu ini sedikit sebanyak dapat menarik kedatangan mereka,” katanya kepada Wilayahku.

Tze Khee berkata sebelum ini dua festival dan acara sukan terbesar yang dianjurkan di Labuan iaitu Borneo Arts Festival (BAF) dan Labuan International Sea Challenge (LISC) terbukti berjaya menarik ramai pengunjung luar.

Sudah tentu katanya ia memberikan kesan yang amat baik kepada ekonomi tempatan khususnya kepada sektor perhotelan dan sektor-sektor lain.

“Kita berharap penganjuran BFF pada Julai ini akan memberikan satu lembaran baharu kepada Labuan, bukan sahaja dari segi peningkatan dalam sosioekonomi malah sebagai satu anjakan mengetengahkan sektor pelancongan,” katanya.

ASMADI

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil Pasar Sentral (PPKPS), Asmadi Ahmad menjelaskan penganjuran BFF 2025 merupakan satu usaha kerajaan menjadikan Labuan berdaya saing dalam sosioekonomi, pelancongan dan tidak hanya berpaksikan kepada industri pusat kewangan pesisir pantai serta minyak dan gas semata-mata.

“Bagi saya idea yang dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa ke Labuan ini merupakan satu inisiatif yang perlu dipuji kerana dengan BFF 2025 ini sudah tentunya Labuan akan menjadi lokasi tumpuan pelancongan,” katanya.

Dalam masa sama, syarikat pengendali Feri Ro-Ro Binabalu Sdn Bhd memaklumkan sebarang tempahan jualan tiket secara dalam talian telah dibuka sejak Mac lalu bagi memberikan kemudahan kepada penumpang.

Pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Perbadanan Labuan pada Mac lalu untuk bekerjasama bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan utama itu berjalan lancar demi menjayakan penganjuran BFF 2025.

Terdahulu, BFF 2025 merupakan kesinambungan daripada penganjuran Royal Floria Putrajaya bertujuan untuk memartabatkan sektor pelancongan di Labuan.

Zaliha pada majlis prapelancaran BFF 2025 di Taman Rekreasi Kompleks Sukan Laut Antarabangsa, baru-baru ini menyatakan Labuan bakal menerima lebih 50,000 pengunjung luar dan ia akan memberikan impak positif kepada pelbagai sektor menerusi penganjuran festival berkenaan.

Katanya penganjuran secara berprestij itu merupakan cerminan hasrat Kerajaan MADANI untuk terus memacu sektor pelancongan di Labuan.

“Insya-Allah, festival ini akan menjadi salah satu daripada acara ikonik dalam kalendar pelancongan negara.

“Sebanyak 20 lokasi pameran taman dengan reka bentuk yang pelbagai dan kreatif dengan mengetengahkan sejumlah 200,000 spesies bunga dan tumbuhan Borneo yang memiliki pelbagai warna dan fungsi akan dipamerkan dalam BFF 2025,” katanya.

Zaliha turut menyatakan jumlah pengunjung ke Labuan pada 2024 merekodkan peningkatan ketara iaitu 1.1 juta pengunjung bersamaan 15.7 peratus berbanding tahun sebelum hanya mencatatkan 950,000 pengunjung.

“Dengan rekod ini jelas menunjukkan perancangan yang kita laksanakan berada di landasan yang tepat untuk mengangkat martabat Labuan sebagai permata pelancongan negara. BFF ini akan dianjurkan secara dwitahunan dan akan menjadi satu signature festival kepada Labuan,” katanya. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas