Artikel

Besi buruk tersadai di PPR

Gambar hiasan
- Diterbit 9 Ogos 2024 3:20 PM MYT

DIANGGARKAN terdapat 1,634 kenderaan buruk ditinggal tersadai dalam kawasan perumahan awam di seluruh Kuala Lumpur merangkumi 64 kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di seluruh ibu negara.

Perkara ini didedahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)‚ Dr Zaliha Mustafa‚ ketika pelancaran Program Kesejahteraan PPR/PA di PA Seri Kota‚ Bandar Tun Razak‚ baru-baru ini. Turut hadir Datuk Bandar‚ Datuk Seri PMgr Sr Karulzaman Mat Salleh.

Menurut Dr Zaliha‚ kenderaan buruk tersebut hanya boleh dilupuskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) setelah mendapat kelulusan pihak berkuasa seperti polis. Bagaimanapun 447 kenderaan dikenal pasti untuk dilupuskan segera.

Kelulusan polis perlu utuk memastikan kenderaan berkenaan benar-benar ‘bersih’‚ tidak digunakan untuk kegiatan jenayah sebelum sengaja dibiarkan tersadai. Kerana itu proses mengenal pasti penting untuk memastikan bahan bukti tidak dilupus.

Bagi kawan-kawan Kedai Kopi‚ isu kenderaan buruk dibiarkan tersadai bukan perkara baharu di Kuala Lumpur. Sudah kerap dilaporkan mengenai besi buruk ini dibiarkan di kawasan perumahan‚ tepi jalan‚ kawasan taman dan rekreasi serta mana-mana kawasan lapang.

Perbuatan tidak bertanggungjawab ini menjadikan kawasan perumahan awam bagai tempat buangan besi buruk. Keadaan ini mencacatkan pemandangan sekitar‚ membahayakan orang ramai.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas