Berita

Bertemakan ‘Uncaged’… Penglibatan Zizan, Bront perkukuhkan jenama Miffest

- Diterbit 12 Mac 2024 9:00 AM MYT

FESTIVAL Filem Antarabangsa Malaysia ke-7 (Miffest) kini kembali dengan tema ‘Uncaged’ bermula dari 21 hingga 28 Julai 2024 di TRX, Kuala Lumpur.

Apa yang menarik, mengekalkan pelakon hebat Bront Palarae sebagai duta rasmi dan melantik pelakon Zizan Razak sebagai lembaga penasihat, adalah antara langkah memperkukuhkan  lagi jenama Miffest.

Presiden Miffest, Joanne Goh, berkata selain Zizan, pembabitan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) turut dilihat sebagai jentera penting menjayakan festival tahun ketujuh itu.

“Zizan adalah wakil Malaysia sebagai pelakon hebat. Kami secara asasnya memerlukan nasihat daripadanya lebih kepada kemahiran lakonan dan pendapat mengenai industri hiburan tempatan.

“Selain Zizan, kami juga terus tampilkan Bront Palarae sebagai duta yang juga seorang pelakon hebat. Kami juga mendapat kerjasama strategik bersama Finas tahun ini.

“Jadi, saya percaya penganjuran kali ini pastinya akan semakin baik dengan bantuan mereka. Sokongan terkuat ini akan menjadi nadi buat Miffest gandakan lagi usaha penganjuran,” katanya ditemui pada sidang media Miffest, baru-baru ini.

DARI kiri: Bront Palarae, Joanne Goh dan Datuk Azmir Saifuddin.

Bagaimanapun, Zizan tidak dapat hadir pada sidang media terbabit.

Mengenakan tema ‘Uncaged’, sebanyak lebih 400 filem dari seluruh dunia sudah dihantar kepada Miffest untuk menjalani proses saringan. Penyertaan itu diterima daripada hampir 50 negara.

“Untuk saringan pertama, kami akan menyenarai pendek 30 filem terbaik. Selepas itu, 10 akan dipilih lima juri dilantik untuk menjadi finalis. Pengumuman filem yang tercalon akan dibuat pada Jun,” katanya.

Selain itu, kerjasama yang terjalin  antara Miffest, FINAS dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menandakan satu lagi peristiwa penting dan langkah serius dalam memartabatkan industri perfileman Malaysia.

Gabungan ini juga dilihat mampu menonjolkan dan mempromosikan filem tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin mengaku teruja dengan usaha positif ini.

“Kami sangat teruja untuk bergabung tenaga dengan Miffest untuk edisi tahun ini. Perkongsian ini merangkumi visi bersama kami, memupuk bakat dan mempamerkan kemeriahan pawagam Malaysia kepada Dunia. Saya sangat teruja dan sangat menantikannya,” katanya.

Untuk karya tempatan, 10 filem bakal dipilih bagi ditayangkan pada festival itu. Malam kemuncak Miffest bakal berlangsung pada 27 Julai bertempat di di Angkasapuri Seri Angkasa, Kota Media, Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

 

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas