PENGUATKUASAAN bersepadu bersihkan ‘lorong hanyir’ di Kuala Lumpur dan menjadikannya bandar raya berdaya huni tinggi. Ini azam Datuk Bandar, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif, yang mahu memastikan ibu negara bersih daripada pelbagai gejala tidak bermoral.
Sebelum ini beliau telah menegaskan akan membersihkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) daripada rasuah. Setiap aduan yang diterima akan disiasat walaupun melalui surat layang.
Selain itu usaha juga dibuat membendung ibu negara daripada gejala peniaga haram, peniaga warga asing,mengatasi kesesakan lalu lintas serta memastikan aspek kebersihan sentiasa dipelihara.
‘Lorong hanyir’ atau dikenali juga sebagai ‘lorong belakang’ bagai sinonim dengan beberapa kawasan tertentu di ibu negara.
Menurut Maimunah, antara kaedah yang akan dijalankan bagi mencapai matlamat pembersihan ini ialah melaksanakan pengindahan fizikal. Ini termasuk membuka kafe, kedai makanan juga galeri anak muda.
Apabila kawasan ini sudah bersih dan wujud kegiatan ekonomi dan sosial, kegiatan seperti pelacuran atau gangsterisme akan terhapus atau sekurang-kurangnya dapat diminimumkan.