Berita

Bersih segenap ruang PA/PPR

- Diterbit 26 Julai 2024 10:40 AM MYT

KIRA-KIRA 200 penduduk bersama petugas-petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bekerjasama dalam aktiviti gotong-royong bagi membersihkan persekitaran kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Petaling baru-baru ini.

Pengurus Pejabat DBKL Cawangan Bukit Bintang, Meor Rusydi Mohd Razali berkata fokus utama Projek Quick Win PA/PPR aktiviti itu ialah membersihkan di segenap ruangan kawasan PPR.

“Pihak DBKL bersama agensi-agensi serta penduduk berganding bahu membersihkan kawasan, mengecat jalan dan sebagainya bermula pukul 8 pagi.

“Sebanyak 23 buah kenderaan buruk atau tersadai yang melibatkan 10 kereta dan 13 motosikal yang diletakkan di sekitar kawasan parkir mahupun di tempat larangan meletak kenderaan ditunda.

“Kita mahu memudahkan urusan penduduk, supaya tiada lagi isu parkir berpanjangan, malah kawasan sekitar juga akan bertambah bersih,” katanya.

Jelasnya, pihaknya turut mengenal pasti beberapa pokok yang perlu dicantas untuk keselamatan penduduk bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Desa Petaling, Rohaizad Abdul Rani berkata dia bersama-sama penduduk menghargai jasa kesemua pasukan DBKL dalam aktiviti tersebut.

“Ribuan terima kasih kepada pihak DBKL kerana sudi hadir dan menjayakan program gotong-royong ini. Aktiviti berjalan lancar dengan bantuan mereka.

“Usaha ini akan diteruskan di masa hadapan bersama penduduk. Ia bukan sahaja bagi menjamin keindahan malah dari sudut kesihatan serta keselamatan semua pihak,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas