Artikel

Bersantai di pejabat pos

- Diterbit 13 September 2024 4:37 PM MYT

BILA kali terakhir anda berkunjung ke pejabat pos? Bagi yang sudah lama mungkin tidak menyedari kini pejabat pos berwajah baharu.

Pejabat pos telah berubah wajah. Ia bukan hanya sebagai tempat tradisi melakukan urusan pos‚ membeli setem‚  pos laju‚ membayar bil utiliti atau urusan jual beli saham amanah. Kini ia melebarkan konsepnya sebagai gerai serbaneka serta tempat menjamu selera.

Sebenarnya konsep pos shop dan kafe ini sudah bermula pada tahun lepas dengan projek pelopor di Pejabat Pos Medan Tuanku‚ Jalan Tuanku Abdul Rahman. Ini kemudian diikuti dengan Pejabat Pos Brickfields dan Pejabat Pos Jalan Gombak.

Kawan-kawan Kedai Kopi difahamkan‚ projek ini akan diperluas ke seluruh negara.

Melawat pos shop dan kafe di Pejabat Pos Jalan Gombak baru-baru ini‚ kawan-kawan Kedai kopi dapati konsepnya sangat menarik. Ruang pos dibahagi dua. Satu bahagian untuk urusan pos‚ satu bahagian lagi menempatkan barangan serbaneka dan juga makanan dan minuman.

Untuk kemudahan pelanggan‚ kerusi meja disediakan untuk menjamu selera dalam suasana berpendingin hawa. Bagi mereka yang memilih untuk makan minum di luar premis‚ kerusi meja juga disediakan. Pilih sahaja di mana hendak duduk.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas