SEIRING dengan perkembangan pesat dan kemajuan teknologi pada masa ini, industri pos juga telah mengalami transformasi yang signifikan sebagai tanda beradaptasi dengan perubahan keperluan pelanggan. Industri ini terus menyesuaikan diri dengan landskap yang membangun untuk kekal relevan dalam era digital.
Hari Pos Sedunia 2023 disambut dengan tema “Together for Trust: Collaborating for a Safe and Connected Future”. Sememangnya ini amat bertepatan dengan perjalanan negara ke arah pendigitalan dan kesalinghubungan.
Tema tersebut menekankan aspek kepentingan kerjasama, kepercayaan dan keselamatan dalam mewujudkan masa depan yang mampan serta mencapai kemajuan dalam industri.
Sebagai negara yang sedang berkembang maju, Malaysia menekankan peri pentingnya nilai-nilai ini bagi membuka jalan menuju dunia yang aman dan terhubung.
Maka itu, perkhidmatan pos sentiasa menjadi bahagian penting dalam kehidupan harian kerana dengan tersedianya perkhidmatan tersebut, kita boleh berhubung dengan keluarga, rakan dan komuniti di seluruh dunia. Perkara ini juga menepati prinsip asas perkhidmatan pos dan kurier, iaitu sentiasa berkhidmat untuk rakyat.
Tinjauan cabaran kurier oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapati, hingga Ogos 2023, Pos Malaysia mendapat penilaian sebanyak 96 peratus bagi “prestasi penghantaran terjamin” berbanding dengan purata industri kurier sebanyak 78 peratus.
Berdasarkan laporan Indeks Bersepadu Pembangunan Pos (2IPD) 2022 oleh Kesatuan Pos Sejagat (UPU), pada skala global, Pos Malaysia telah mencapai penarafan ketara tujuh (daripada 10) dari segi Tahap Pembangunan Pos. Pencapaian ini menunjukkan kualiti luar biasa perkhidmatan pos domestik kita.
Dari semasa ke semasa, perkhidmatan pos melalui proses perkembangan termasuk memulakan “Air Mail” yang membenarkan penghantaran pos antarabangsa melalui udara bermula pada tahun 1986. Dua tahun kemudian, perkhidmatan ekspres serta kurier domestik diperkenalkan dan jenama terkenal Pos Laju dilahirkan. Pada awalnya, Pos Laju hanya melakukan penghantaran ke lima destinasi antarabangsa.
Kini, mereka boleh melaksanakan penghantaran ke lebih 11 juta alamat di Malaysia dan 200 destinasi di seluruh dunia.
Evolusi perkhidmatan pos Malaysia menjadi bukti pertumbuhan industri sentiasa berkembang untuk memenuhi permintaan pelanggannya yang sentiasa berubah.
Pada masa yang sama, mengikuti trend semasa serta masa depan yang menyokong pertumbuhan ekonomi digital, termasuk e-dagang, berada di barisan hadapan.
Perkhidmatan pos Malaysia juga mengambil langkah lebih jauh untuk memperkenalkan perbankan pos yang dilihat menjadi urusan penting dalam rangkaian perkhidmatan. Masyarakat di seluruh negara boleh menjalankan transaksi perbankan dengan selamat dan terjamin, tanpa mengira cabaran geografi.
Perbankan pos penting dalam landskap kewangan Malaysia kerana perkhidmatan tersebut menyediakan cara yang mudah untuk mengakses dan mengurus kewangan mereka.
Pesanan pos dan kiriman wang juga menjadi mudah dan selamat kerana pengguna boleh memindahkan wang dan membuat pembayaran dengan selamat dan boleh dipercayai.
Menangani isu kritikal seperti keselamatan dan keterhubungan menjadi usaha yang sangat penting apabila industri pos berkembang. Oleh sebab itu, peranan perkhidmatan pos adalah penting untuk komunikasi yang boleh dipercayai dan selamat.
Kepentingan dan kepercayaan global juga penting kerana negara berfungsi secara serasi dan dalam keadaan saling boleh kendali. Industri ini hanya boleh berkembang maju dan mencapai tahap baharu dengan mewujudkan kerjasama strategik ke arah matlamat yang sama.
Perkhidmatan pos di Malaysia kekal berdaya tahan dan bersedia bagi memenuhi permintaan negara.
Apabila semua urusan di dunia berlaku dalam bentuk digital, industri perkhidmatan pos perlu terus berinovasi dan menerima teknologi baharu untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
Industri pos di Malaysia berada pada kedudukan amat baik untuk menghadapi cabaran masa hadapan dan memenuhi keperluan pelanggan dengan penuh dedikasi dan komitmen padu, sepertimana yang telah ditunjukkan sekian lama.
Selamat menyambut Hari Pos Sedunia 2023!