SABTU lalu ketika berucap menyempurnakan pelancaran Putrajaya Sihat Sejahtera sempena sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Peringkat Putrajaya, ada sesuatu yang mengecewakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Bercakap, berkempen hari-hari mengenai kesihatan kepada rakyat jelata, hakikatnya di Putrajaya yang menempatkan warga penjawat awam, dua ‘penyakit’ begitu membimbangkan beliau.
Masakan tidak, dalam Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati, Putrajaya ‘menjuarai’ peratusan mereka yang menghadapi masalah berlebihan berat badan atau obes dan juga paras kolesterol tinggi dalam
darah.
Kedua-duanya boleh menyebabkan risiko kepada penyakit tidak berjangkit atau NCD khususnya sakit jantung.
Dalam bahasa mudahnya dipanggil penyakit ‘tiga ke empat serangkai’ termasuk diabetes dan tekanan darah tinggi.
“Ini tempat kita (penjawat awam bekerja). Tetapi melihat kepada dapatan indikator NHMS 2023, khasnya Putrajaya, 61.2 peratus daripada mereka berlebihan berat badan atau obes.
“Ia melebihi paras kebangsaan iaitu 54.5 peratus. Nak beri tepukan macam mana (bukan kejuaraan yang patut dibanggakan)?
“Keduanya, kolesterol tinggi dalam darah. Paras kebangsaan 33.3 peratus peratus namun Putrajaya 34.6 peratus,” katanya.
Di sebalik data-data yang dilaporkan melalui NHMS 2023 itu, beliau turut menekankan kepada aspek perbelanjaan kerajaan dalam menangani NCD.
Katanya, kerajaan berbelanja besar iaitu lebih RM10 bilion setahun untuk tujuan itu.
“Kita sudah melalui dan telah berlalu pandemik penyakit berjangkit khususnya COVID-19. Memang 36,000 nyawa rakyat kita terkorban akibat COVID-19 dan ia telah berlalu.
“Tetapi kita berdepan ‘pandemik’ lebih bahaya iaitu pandemik NCD. Ia pandemik sepanjang masa, sebab itu saya sebagai Menteri Kesihatan buat kali kedua ini merasakan antara cabarannya adalah untuk menangani pandemik tersebut,” katanya.
Beliau berkata pandemik NCD berkait secara langsung dengan persoalan produktiviti di tempat kerja.
Beliau menyebutnya sebagai absenteeism dan presenteeism. Absenteeism merujuk kepada pekerja yang tidak dapat hadir bekerja atau memperoleh cuti sakit akibat NCD. Presenteeism pula katanya, seseorang pekerja itu hadir di tempat kerja tetapi tidak mencapai kepada paras produktif yang terbaik.
“Inilah fenomena di tempat kerja. Majikan, bos, ketua-ketua kena ambil maklum dua fenomena ini dan bersama kita bantu pekerja kita untuk mengamalkan gaya hidup sihat,” tegas beliau.
Katanya, merujuk kepada data terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), beban kos yang ditanggung negara ini dalam menangani NCD mencecah lebih RM22 bilion setahun.
Tetapi katanya, jika diambil kira keseluruhan iaitu secara langsung mahupun tidak langsung, kos tersebut melebihi apa yang dinyatakan itu.
“Ini serius kerana ia menjejaskan produktiviti di tempat kerja,” katanya.
Atas dasar itu dan juga atas data-data yang dinyatakan NHMS 2023, Kementerian Kesihatan memilih Putrajaya sebagai kempen pertama Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) kerana ia menempatkan kebanyakan penjawat awam.
TINGGALKAN ROKOK, VAPE
Seperkara lain yang dinasihatkan Dr Dzulkefly adalah berkaitan dengan tabiat merokok dan vape.
Katanya, kerajaan terpaksa berbelanja RM6 bilion setahun bagi merawat pesakit merokok.
“Menteri ini (saya) kawal selia supaya yang lain tidak menjadi mangsa akibat toksik asap rokok.
“Kalau (ada) yang nak marah pun, marahlah, tidak mengapa, demi kesihatan awam, kita akan terus mengangkat agenda ini bersama.
“Sebab itu bermula 1 Oktober 2024 kita menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852),” tambahnya.
Beliau memberitahu, tarikh 1 Oktober merupakan kesediaan Jabatan Peguam Negara (AGC) meluluskan semua peraturan dan perintah.
“Ada 11 peraturan dan dua perintah yang terkait dengan pelaksanaan akta itu. Apa yang dimaksudkan adalah AGC meluluskan semua peraturan dan perintah.
“Cumanya dari sudut penguatkuasaan, bukannya mudah. Bahagian Kesihatan Awam (KKM) telah menyusun perkara ini dengan cermat dan teliti supaya penguatkuasaannya akan kita terangkan secara terperinci apakah perkara yang akan segera dilaksanakan,” katanya.
DENGGI: JANGAN AMBIL MUDAH
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil mudah ancaman denggi.
Katanya, komplikasi demam denggi telah meragut 91 nyawa pada tahun lalu berbanding 62 pada 2022.
“Mencipta persekitaran yang sihat dan sejahtera memerlukan kita cakna dengan sekeliling. Ia berkaitan dengan ancaman denggi. Bayangkan kalau salah seorang daripada 91 nyawa itu adalah insan tersayang dalam keluarga kita.
“Justeru jangan ambil mudah mengenai denggi. Bersama kita hapuskan pembiakan nyamuk Aedes,” tegasnya.
Beliau menasihatkan semua pihak memperuntukkan 10 minit seminggu untuk mencari dan memusnahkan unsur-unsur pembiakan nyamuk Aedes. – WILAYAHKU