BAGI menyemarakkan lagi suasana persiapan hari raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi, penganjur Festival Ramadan Putrajaya 2023 (FRP 2023), Ingenious Creative Lab (M) Sdn Bhd telah mengadakan pertunjukan fesyen pada Sabtu.
Bertemakan ‘Seindah Ramadan, Harmoni Lebaran’ FRP 2023 ke-11 ini mendapat sokongan daripada 14 usahawan bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta 108 usahawan dari seluruh Semenanjung Malaysia.

Antara selebriti yang menyertai Festival ini termasuklah Mawi, Rayme Zainal, Saharul Ridzwan, Adira Suhaimi, Asfnan Shah, Afzan, Shahz Jaszle dan Elly Ariffin.
Manakala antara jenama terkenal yang menyertai Festival Ramadan Putrajaya 2023 adalah Elrah Exclusive, Bulan Bintang, Jols Luxe Fabrics, Rimbun KL, Zareeth Zehra, Arma Couture, Ejay Collection dan Muslim Vibe.
Apa yang istimewa, FRP 2023 akan melanjutkan waktu operasinya sehingga 5 pagi bermula Isnin ini, bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan kelengkapan Aidilfitri pada saat akhir.
Pengarah Ingenious Creative Lab (M) Sdn. Bhd, Shahrul Musa berkata, pihaknya memilih 10 hari terakhir Ramadan bagi lanjutan operasi itu berbanding tamat pukul 12 tengah malam, sebelum ini.
Beliau berkata, lanjutan operasi itu akan memberi peluang kepada 250 vendor FRP 2023 menawarkan harga diskaun dan berpatutan kepada pengunjung.
“Menjelang tiga hari terakhir Ramadan juga, vendor yang mengambil bahagian turut menawarkan diskaun sehingga 50 peratus menerusi promosi ‘happy hour’.
“Lebih 160 vendor menawarkan kelengkapan Hari Raya termasuk busana Raya yang kebanyakannya jenama tempatan.
“Kami menyasarkan 500,000 pengunjung bagi FRP 2023 kali ini dan yakin ia dapat dicapai menerusi pelbagai program dan aktiviti sepanjang penganjuran festival itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis persembahan fesyen di Anjung Syawal FRP 2023 di Putrajaya.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang Ramadan seperti Takzirah Santai bersama penceramah jemputan, membeli belah bersama anak-anak yatim dan persembahan artis tempatan seperti Mawi, Datuk Nash, Asfan Shah, Imran Ajmain, Adi Sixth Sense, Adira Suhaimi, Ayu Damit, Salma Asis, Jojo One Nation Emcee, Shahz Jazle , Elly Arifin, Faizal FBI dan Rayme Zainal.
Pengunjung yang datang turut dapat mengambil bahagian di dalam cabutan bertuah yang menawarkan sebuah motosikal berharga RM10,000.00 apabila mereka berbelanja sebanyak RM100.00 dalam satu resit.
FRP 2023 dibuka dari dari jam 12.00 tengahari sehingga 12 tengah malam bermula dari 22 Mac sehingga 21 April 2023.
Sebarang pertanyaan berkenaan FRP 2023 sila hubungi Rara di 017-200 8242. – WILAYAHKU