Berita

Bernas selesai salur peruntukan khas RM90 juta

- Diterbit 6 April 2025 8:30 PM MYT

PADIBERAS Nasional Berhad (Bernas) telah menyalurkan sepenuhnya bantuan khas sebanyak RM90 juta kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebagai usaha bagi membela kebajikan pesawah miskin.

Bernas dalam kenyataan berkata peruntukan khas fasa pertama sebanyak Rm60 juta telah disalurkan secara berperingkat manakala bayaran terakhir RM15 juta telah diselesaikan pada 5 Mac lepas.

“Peruntukan tambahan RM30 juta seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Februari lepas, juga telah disalurkan sepenuhnya kepada kerajaan pada 28 Mac,” katanya.

Menurut kenyataan itu, dana tersebut yang keseluruhan disumbangkan oleh Bernas tanpa menggunakan dana awam.

“Sebagai entiti swasta, semua sumbangan itu tertakluk kepada tadbir urus kewangan yang ketat bagi  memastikan aspek pematuhan dan akauntabiliti,” katanya.

Dalam pada itu, Bernas menekankan bahawa langkah itu selaras dengan janji syarikat itu untuk menyokong inisiatif Kerajaan MADANI dalam meningkatkan taraf hidup pesawah yang kurang berkemampuan dan memastikan keterjaminan makanan negara.

“Bernas juga menegaskan sokongan berterusan kepada rancangan jangka panjang kementerian bagi meningkatkan kebajikan petani, menjamin kestabilan dan ketersediaan bekalan beras kepada seluruh rakyat Malaysia serta berkerjasama rapat dengan KPKM dan pihak berkepentingan lain bagi melaksanakan inisiatif strategik yang mengukuhkan agenda keterjaminan makanan negara,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas