PERKEMBANGAN teknologi serta akses Internet yang tiada sempadan telah banyak mengubah kehidupan seharian manusia. Malah‚ saat ini kita dapat menyaksikan ramai yang memilih untuk aktif dalam dunia maya dengan menghabiskan masa berjam-jam menghadap skrin gajet.
Generasi Z (Gen Z) tidak terkecuali terpengaruh dengan situasi ini serta cenderung untuk melayari aplikasi sosial saban waktu. Jika tidak dibendung‚ ia boleh menjadi pencetus kepada ketagihan penggunaan media sosial seperti yang kita lihat pada hari ini.
Menyedari perkara itu‚ Muezza Education Group Sdn Bhd terpanggil untuk merangka program yang dikenali sebagai Program Muezza Development untuk membentuk karakter positif kanak-kanak melalui medium sukan sekali gus mengurangkan ketagihan gajet dalam kalangan anak muda.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya‚ Anas Izuan Azmi‚ program yang dinamakan sebagai akademi ini membuka peluang kepada peserta berumur 4 hingga 18 tahun untuk mendalami program memanah‚ berkuda‚ renang dan bola sepak.
“Peserta yang mengikuti program di akademi akan mengikuti kelas bulanan bermodul yang sistematik. Mereka yang berpotensi akan diketengahkan ke peringkat lebih tinggi seperti daerah atau negeri‚” ujar beliau kepada Wilayahku.
Mengulas lanjut‚ Anas berkata perniagaan yang dijalankan selama tempoh dua tahun lima bulan ini merupakan bisnes yang sangat relevan memandangkan ia berbentuk pendidikan serta membawa manfaat kepada sesiapa sahaja.
“Pada permulaan‚ kita hanya bermodalkan RM10‚000 dan mengembangkan perniagaan menggunakan aliran tunai sahaja. Alhamdulillah berkat kesabaran‚ dalam tempoh dua tahun lebih ini‚ Muezza sudah mempunyai 56 cawangan selain 33 rakan niaga.
“Insya-Allah untuk tahun 2025 ini‚ kami menyasarkan 100 cawangan Muezza di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak‚” ujarnya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama rakan niaga baru-baru ini.
Katanya‚ syarikat yang ditubuhkan itu mempunyai hala tuju yang besar untuk jangka masa pendek dan panjang.
“Muezza Education Group Sdn Bhd juga diuruskan dengan gaya korporat di mana kami mempunyai organisasi lengkap yang menguruskan sesuatu jabatan‚” katanya.
Menyentuh tentang selok-belok dunia perniagaan‚ beliau berkata‚ 50 cawangan dibuka menggunakan modal sendiri manakala enam cawangan pula adalah peluang yang diberikan kepada rakan niaga.
“Setelah benar-benar yakin dengan enam rakan niaga barulah kami membuka peluang kepada rakan niaga lain secara besar-besaran. Kini‚ seramai 33 rakan niaga menyatakan minat untuk menyertai serta memberi komitmen sepenuhnya.
“MoU diadakan hari ini untuk memenuhi beberapa tujuan‚ seperti penjelasan berkenaan niat dan harapan‚ mengeratkan lagi hubungan‚ mewujudkan rangka kerja bersama‚ menyediakan asas untuk perjanjian di masa depan‚ memastikan komunikasi yang jelas‚ membina kepercayaan‚ menyediakan rekod perjanjian dan membantu membuat keputusan dan perancangan yang lebih jelas‚” ujarnya.
Muezza mengorak langkah dalam meningkatkan reputasi penjenamaan dengan menjalinkan kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“MoU antara Muezza dan UiTM akan melibatkan kerjasama dari sudut pembangunan modul pelajar di Muezza. Tempoh perjanjian kerjasama ini adalah untuk tempoh tiga tahun bermula April 2023‚” katanya.
Berkongsi pengalaman tentang peserta‚ beliau berkata Muezza pernah mendidik salah seorang peserta dalam aktiviti memanah dan kesannya dia menjadi seorang yang fokus dalam pelajaran.
“Saya dapat panggilan daripada guru pelajar tersebut yang meminta untuk membuka kelas memanah di sekolah kerana pelajar tersebut berubah sejurus menyertai program memanah. Itu antara maklum balas yang saya kira sangat menggembirakan.
“Setiap peserta bukan sahaja belajar memanah semata-mata tetapi di studio memanah Muezza turut dilengkapi gimnasium dan sebagainya selain untuk satu-satu sesi kita memberi fokus kepada lima hingga ke tujuh orang peserta sahaja‚” ujarnya yuran yang dikenakan juga amatlah berpatutan. – WILAYAHKU
[Iklan]