AINI MAWAWI & SERIMAH SALLEHUDDIN
SYAWAL ini sepatutnya menjadi hari yang cukup bermakna buat pelakon dan pengacara Siti Rokhaida Abdul Khalil, 46, apabila dia kembali disatukan dengan bekas suaminya, Mohamad Nazri Ismail, 57, setelah lapan tahun berpisah.
Namun, impian untuk meraikan Syawal dalam suasana gembira bertukar ala kadar sahaja apabila Mohamad Nazri disahkan menghidap kanser leher dan kelenjar air liur pada awal November lalu.
Melihat keadaan kesihatan suaminya itu membuatkan Siti Rokhaida atau lebih mesra dengan panggilan Kiah Propa mengakui tiada jiwa untuk meraikan lebaran tahun ini.
“Anak-anak paling teruja apabila kami kembali disatukan. Sambutan Syawal kali ini sepatutnya menjadi cukup bermakna buat kami sekeluarga tetapi apakan daya kesihatan suami merosot dalam sekelip mata.
“Saya tidak menyangka kesihatannya merudum secepat ini. Dalam masa tidak sampai berapa bulan, fizikal suami berubah dengan ketara.
“Tapi saya tetap mahu menggembirakan hati suami dan saya mahu dia merasakan suasana hari raya,” kata wanita cekal ini.
Akui Kiah, melihat keadaan suaminya yang semakin kritikal membuatkan hatinya dihiris pilu.
Walaupun hubungan dengan Nazri tetap baik selepas perceraian tetapi tahun ini berbeza apabila setelah lapan tahun berpisah, mereka berhasrat merakam semula potret raya sebagai sebuah keluarga yang sempurna.
“Saya mahu gembirakan hati suami, sebab itu saya beria-ia siapkan baju raya untuk dia.
“Setiap hari saya panjatkan doa kepada Allah semoga kami diberi kesempatan beraya bersama dan dapat rakamkan foto raya buat kali terakhir. Setiap kali mengenangkannya, hati saya jadi sangat sedih.
“Sebelum ini dia pernah merayu ingin rujuk kembali tetapi hati saya belum terbuka. Selepas suami disahkan menghidap kanser barulah saya terbuka untuk menerimanya kembali.
“Hati saya tambah tersentuh apabila anak-anak minta saya jaga bapa mereka dan tidak izinkan saya berkahwin lain. Anak yang bongsu mungkin masih kecil, dia kata dah ‘sellotape’ hati sebab tak mahu saya cari orang lain, mungkin dia tak faham yang kami sebenarnya sudah rujuk,” katanya yang reda andai ditakdirkan Allah mengambil suaminya.
Bukan lelah terpaksa berulang-alik dari Teluk Intan-Sungai Buloh- Putrajaya bagi menghantar suami menjalani rawatan di Institut Kanser Negara (IKN) dan pada masa sama menguruskan perniagaan, tetapi melihat keadaan suaminya yang ‘terseksa’ ditebuk dan dicucuk membuatkan dia reda seandainya tiba masa untuk suaminya pergi.
Malah jelas Kiah, dia juga sudah meminta dua puterinya yang berusia 13 dan sembilan tahun agar bersiap sedia berikutan rawatan kimoterapi yang dijalani Nazri sebanyak lima kali tidak menunjukkan sebarang perubahan.
“Saya tak sanggup melihat suami terseksa, kanser bukan penyakit main-main. Dari pengalaman menjaga suami, saya belajar sesuatu di mana kanser penyakit yang tak ‘relaks’ sebab komplikasi kesakitan itu berubah-ubah.
“Ada saja bahagian tubuh yang sakit, apabila tengok suami mengerang kesakitan saya pula yang menangis.
“Perkara itu membuatkan saya belajar untuk bersyukur, sebab itu saya reda seandainya Allah ambil dia,” katanya yang mengakui langsung tidak pernah menyesal dengan keputusan bernikah semula dengan Nazri.
Selagi diberikan waktu, Kiah mahu memberikan khidmat terbaik buat suaminya kerana tidak mahu timbul penyesalan di kemudian hari.
Sepanjang menjaga Nazri, dia juga tidak pernah merasakan suaminya itu sebagai satu beban biarpun terpaksa membahagikan masanya mencari rezeki dan berdepan pula dugaan perniagaan yang perlahan sepanjang Ramadan.
“Betul saya tidak pernah menyesal kerana ini jalan yang saya pilih. Ibu dan arwah bapa sebelum ini pun tidak membantah keputusan ini.
“Kalau saya tidak berkahwin semula dengan suami, tiada siapa yang mampu jaga dia dalam keadaan begini.
“Dalam keadaan kesihatan dia yang kurang baik, saya diduga pula dengan perniagaan yang perlahan sepanjang Ramadan ini kerana jarang dapat ke bazar disebabkan sibuk uruskan suami.
“Mujur ada rakan artis dan peminat yang infakkan, jadi dapatlah tampung sedikit sebanyak. Keadaan itu buatkan ada masanya saya ‘down’ tapi hanya pada Allah tempat saya mengadu setiap malam. Saya kena kuat kerana saya kini tunjang keluarga,”
kata Kiah.
Kiah dan Nazri berkahwin pada 2011, namun bercerai pada 2016.
Pasangan itu kembali rujuk pada 16 November tahun lalu, di mana Kiah sendiri melamar Nazri dengan niat ingin menjaga lelaki tersebut yang didiagnos kanser. – WILAYAHKU