Berita

Berita baik untuk sektor pendidikan

NAZRI Aziz
- Diterbit 4 Oktober 2024 12:11 PM MYT

PENGUKUHAN nilai ringgit berbanding dolar merupakan satu berita baik khususnya kepada ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak mereka melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat (AS).

Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata ia juga berita baik buat agensi-agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Education Malaysia dalam mengatur semula bilangan pelajar yang akan dihantar ke AS.

“Kita tahu selama ini banyak agensi-agensi kita (kerajaan) telah kurang menghantar pelajar ke sini (AS). Jumlah pelajar Malaysia yang belajar di sini juga berkurangan.

“Oleh itu, dengan pengukuhan ringgit saya berharap supaya ramai pelajar akan dapat dihantar untuk melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat,” katanya kepada Wilayahku.

Mohamed Nazri berkata  berdasarkan laporan diterimanya untuk tahun ini, ia menunjukkan trend penurunan melibatkan pelajar baharu dari Malaysia mendaftar di institusi pendidikan tinggi di AS.

Laporan-laporan itu katanya, dimaklumkan oleh JPA, MARA dan juga Education Malaysia.

“Saya akan adakan mesyuarat dengan ketua-ketua agensi itu di Washington tidak lama lagi dan akan membangkitkan perkara ini kepada mereka.

“Di banyak universiti di AS yang saya lawati memang saya minta mereka banyakkan lagi tempat diberikan kepada pelajar-pelajar Malaysia. Tetapi kita faham dengan kedudukan semasa ringgit sebelum ini,” tambahnya.

Beliau memberitahu, insya-Allah untuk semester akan datang pihak kedutaan mengharapkan akan ada peningkatan kemasukan pelajar dari Malaysia.

“Ini (pengukuhan ringgit) memang satu berita baik terutama dalam sektor pendidikan tinggi. Semoga akan ramai lagi anak-anak kita dapat dihantar melanjutkan pengajian ke luar negara,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas