Berita

Beri perkhidmatan lebih baik selari dengan pelarasan gaji penjawat awam – PM Anwar

Kredit: WILAYAHKU/Syuqqree
- Diterbit 6 Ogos 2024 12:53 PM MYT

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mahu semua penjawat awam memberikan perkhidmatan yang jauh lebih baik kepada rakyat selari dengan pelarasan gaji yang akan diumumkan kerajaan.

Beliau berkata ada dua sebab mengapa pelarasan itu melibatkan kenaikan gaji paling tinggi dalam sejarah negara sejak merdeka.

“Pertama (kerana) negara (terus) membangun – tapi selama 12 tahun tak ada kajian menyeluruh kenaikan gaji, dan kedua mengiktiraf peranan mereka (penjawat awam),” katanya semasa berucap di Majlis Peluncuran Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI di Bandar Sri Permaisuri di sini hari ini.

“Walaupun ada suara bangkang yang tak pernah kenal erti syukur dan tak pernah nak terima kenyataan, tapi percayalah apabila saya umumkan nanti, sebahagiannya bulan Ogos dan lengkapnya seperti mana yang saya janjikan pada bulan Oktober (iaitu pada) Belanjawan Negara, (pelarasan) dilaksanakan mulai 1 Disember,” tambahnya.

Majlis peluncuran itu turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mekanisme pelarasan gaji penjawat awam akan diumumkan Anwar semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 pada 16 Ogos ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Pada 2 Ogos, ringgit berada pada 4.49 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada penutupan.

Ia meningkat 1.6 peratus berbanding dolar US selepas mencatatkan kenaikan selama 10 hari berturut-turut, prestasi terbaik dicatatkan sejak 2010. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas