SEMUA pihak diseru untuk memberi peluang dan ruang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa perubahan kepada Labuan berikutan penstrukturan semula pentadbiran Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Samsudin Sidek menggesa semua pihak agar membuka mata tentang kelebihan Labuan di bawah jagaan Anwar.
“Inilah peluang Labuan untuk keluar dari zon selesa dan kita perlu melihat kedudukan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan sebagai kelebihan membawa perubahan kepada Labuan.
“Perpaduan kepimpinan dalam Kerajaan Perpaduan diperlukan untuk membawa suara Labuan agar Perdana Menteri memberikan sesuatu yang besar untuk Labuan,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.
Tambahnya, semua pihak perlu senada menyuarakan permasalahan rakyat agar Perdana Menteri lebih yakin memberikan sesuatu yang lebih baik dan di luar pemikiran biasa.
Hadir sama Ketua UMNO Labuan, Datuk Raffi Ali Hassan; Ketua Parti Amanah Kawasan Labuan, Datuk Wira Dr Ramli Tahir; Ketua Pegawai Eksekutif LDA Holding Sdn Bhd, Noor Halim Datuk Zaini yang mewakili Ketua Parti Warisan Labuan, Datuk Rozman Isli. -WILAYAHKU