Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
KITA tentu pernah melihat mentol lampu kalimantang, botol atau perkakas kaca yang pecah dibuang di tempat sampah. Bahkan besi-besi tajam yang boleh mendatangkan bahaya juga ada dihumban di tempat sampah. Sampah difahami sebagai sesuatu benda yang tidak diperlukan lagi.
Itu sudah menjadi perkara biasa. Ia menjadi biasa kerana semua yang terpampang di depan mata kita itu jarang dilihat melampaui sudut pandang yang biasa.
Sudut pandangan seperti itu sebenarnya kerap menutup cara kita melihat sesuatu dari sudut yang lain. Cara kita melihat sesuatu dalam kehidupan telah dinormalisasi oleh persekitaran dan ini menjadi halangan untuk melihat sesuatu daripada berbagai-bagai sudut yang lain.
Makna kehidupan yang sebenar bukan sahaja hidup, akan tetapi sentiasa cuba untuk memahami manusia lain. Memang benar berusaha memahami dan berada pada kedudukan kelompok atau golongan lain suatu yang agak meremehkan.
Dalam menjalani kehidupan sosial yang sentiasa diburu masa, seolah-olah sentiasa tidak cukup 24 jam sehari yang diberikan itu. Maka hal itu mendorong sesetengah individu enggan berfikir tentang orang lain, apatah lagi yang tidak berkaitan secara langsung dengannya.
Akan tetapi hakikat sebuah kehidupan adalah saling berkait dan terhubung antara satu dengan lain. Bagaimanapun hal itu berlaku dari dalam jiwa dan tidak bersifat fizikal terutama oleh individu yang percaya bahawa kehidupan itu saling berkait antara satu dengan lain.
Tentu ada yang tertanya-tanya apakah kaitan topik kehidupan dengan kaca mentol lampu kalimantang, botol pecah atau bilah-bilah besi yang dibuang di tempat sampah? Jawapannya, ia berkaitan kerana kehidupan kita sentiasa terhubung dengan kelompok manusia yang hidup dengan sampah.
Pengangkut sampah menjadikan persekitaran kerja yang kotor itu sebagai lorong rezeki untuk menyara keluarga. Sampah termasuk yang sangat berbahaya seperti serpihan kaca lampu kalimantang, cermin jendela dan bilah-bilah besi menghubungkan kita dengan mereka.
Maka amat wajar untuk kita memahami dan cuba berada pada kedudukan golongan berkelas paling rendah dalam susunan masyarakat. Kehidupan mereka ada cabaran dan risiko yang tersendiri sekalipun masyarakat jarang bercakap mengenai bidang kerja berkenaan.
Sampah yang disebutkan tadi bukan sahaja tajam, tetapi sangat berbahaya. Misalnya kaca mentol kalimantang ada bahan kimia yang beracun. Luka disebabkan serpihan kaca lampu itu jauh lebih bahaya berbanding kaca biasa.
Bagaimanapun disebabkan tempat itu digunakan untuk sampah, segala serpihan kaca juga turut dibuang di situ. Membuang serpihan kaca di tempat sampah bukan kesalahan. Malah membuang sampah di tempat yang disediakan itu memang suatu betul.
Bagaimanapun sudut moralnya sesuatu yang berlaku kepada pengangkut sampah misalnya tercucuk serpihan kaca yang dibuang tanpa membungkusnya adalah tanggungjawab kita. Disebabkan itulah pentingnya kita memahami alam pekerjaan orang lain yang mempunyai kaitan dengan kita.
Sekiranya kita berfikir tentang orang lain ketika membuang sampah, sudah tentu terbayang akan kemungkinan yang boleh mendatangkan kecederaan kepada mereka yang menguruskan sampah. Hal itu memungkinkan kita menjadi lebih berhemah – membungkus dan mengasingkan serpihan kaca atau besi tajam dengan sampah lain.
Fikir orang lain
Mungkin ada yang berkata, itu memang kerja pengangkut sampah yang mengangkut atau menguruskan sampah. Itu adalah alam pekerjaan mereka yang penuh dengan risiko bergelumang dengan sampah. Maka pengangkut sampah mesti berdepan dengan semua kemungkinan termasuk kecederaan.
Itu memang benar. Akan tetapi menjadi warga yang berhemah tidak semudah itu. Ada banyak yang perlu difikirkan dan hal itu termasuklah tentang orang lain yang mungkin mendapat kesusahan daripada perbuatan kita yang kurang fikir dan rasa.
Kita kerap terlupa dengan golongan yang hidup dengan sampah. Bagaimanapun hal itu bukanlah suatu yang menghairankan kerana mereka bukan siapa-siapa. Mereka golongan kelas bawah yang tertolak dari masyarakat yang lebih tinggi status sosialnya.
Pengangkut sampah adalah mereka yang mencari rezeki dengan bergelumang dengan sampah. Sentiasa berada dalam persekitaran yang amat tidak sihat untuk manusia dan juga haiwan.
Bagaimanapun disebabkan desakan hidup, semua yang mengancam kesihatan itu terpaksa diredah.
Di sisi kita pula, cuba bayangkan kalau tidak ada yang sanggup bekerja mencari rezeki dalam persekitaran yang kotor dan sentiasa terdedah pada bahaya. Sampah dalam kuantiti yang banyak juga mendatangkan bahaya termasuk pengeluaran gas beracun yang boleh mengancam nyawa.
Adanya manusia yang sanggup bekerja dalam persekitaran yang sedemikian adalah rezeki pada kehidupan kita. Rezeki bukan sahaja datang dalam bentuk benda atau wang ringgit, keberadaan manusia lain yang menjadikan hidup kita lebih selamat juga adalah rezeki.
Kemuliaan itu perlu dibalas dengan rasa prihatin yang tinggi dalam kalangan kita. Maka tidak hairanlah ada individu yang sanggup membungkus serpihan kaca lampu atau botol dengan berlapis-lapis kertas surat khabar kemudian dimasukkan dalam plastik.
Tujuannya supaya kaca itu tidak mendatangkan kecederaan kepada manusia yang bertanggungjawab memastikan kediaman kita bersih.
Tentulah itu suatu yang sangat remeh dan mengambil masa kita yang mungkin sangat berharga daripada segi kebendaan. Bagaimanapun sekiranya didorong oleh rasa tanggungjawab dan faham makna kehidupan, kerja remeh itu memberikan nikmat yang tidak ternilai.
Sekalipun pengangkut sampah tidak menuntut apa-apa sekiranya berlaku kemalangan, tetapi sebagai warga yang berhemah kita wajar rasa tertanggung dengan kegagalan memikirkan keselamatan orang lain.
Sebuah kehidupan itu adalah saling berpaut dan berhubungan antara satu dengan lain. Hal yang demikian boleh meningkatkan tahap tanggungjawab terhadap sesama manusia, prihatin terhadap haiwan dan alam tumbuh-tumbuhan.
Oleh kerana itu jangan memandang rendah terhadap semua usaha kecil yang kita lakukan untuk mengurangkan kebarangkalian golongan itu mendapat kecederaan atau mengancam nyawa. Semua usaha yang baik tidak pernah membawa kerugian – setidak-tidaknya kita menjadi semakin memahami kehidupan yang sangat kompleks ini.