Berita

Beregu campuran utama negara juara Terbuka Korea

- Diterbit 1 September 2024 1:00 PM MYT

BEREGU campuran utama, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bergelar juara Kejohanan Badminton Terbuka Korea 2024 sebentar tadi selepas menewaskan cabaran beregu China, Guo Xin Wa-Li Qian.

Pasangan nombor sembilan dunia itu mendapat kejuaraan pertama tahun ini dalam aksi final yang mendebarkan di Stadium Tertutup Mokpo, Seoul.

Walaupun pasangan beregu campuran utama negara tewas pada set pertama 17-21 kepada Xin Wa-Li Qian tetapi tidak mematahkan semangat pasangan negara itu.

Tang Jie dan Ee Wei bangkit memenangi set kedua 21-13 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Pada set ketiga, pasangan campuran utama negara itu mengekalkan momentum positif untuk mengesahkan kejuaraan menerusi kemenangan 21-13 dalam tempoh 59 minit permainan secara keseluruhan.

Dengan kemenangan itu, Tang Jie dan Ee Wei membawa pulang wang kemenangan AS$33,180 (RM143,335).

Manakala, pasangan campuran China, Xin Wa-Li Qian pula meraih hadiah naib juara berjumlah AS$15,960 (RM68,946).

Sebagai rekod Terbuka Korea merupakan kejuaraan berstatus Super 500 pertama dalam tiga penampilan mereka di pentas final musim ini.

Petang ini, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah akan berdepan wakil tuan rumah, Jeong Na-Eun dan Kim Hye-Jeong dalam aksi final Terbuka Korea 2024. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas