Oleh ZULKIFLI SULONG
MINGGU ini kita melabuhkan tirai 2024 dan menyambut kedatangan 2025. Ia juga bermakna Kerajaan Malaysia MADANI akan memasuki tahun keempat selepas menang Pilihan Raya Umum (PRU) pada November 2022 lalu.
Jelas, kerajaan ini berada di dua tahun terakhir selepas tiga tahun pertamanya dengan pilihan raya umum dijangka akan diadakan pada tahun 2026 nanti.
Kalau pada tiga tahun pertama, kerajaan memberikan tumpuan kepada pembetulan kepada sistem yang ada serta mengemaskan pentadbirannya, tahun 2025 dan 2026 adalah tahun di mana kerajaan perlu menjaga hati rakyat.
Pada tahun pertama, iaitu kira-kira sebulan setengah sahaja, kerajaan ini berada dalam mood festival, meraikan kemenangan dan pembentukan kerajaan baharu.
Pada masa ini, tidak banyak yang boleh dilakukan selain daripada membuat pelantikan-pelantikan untuk memastikan jentera kerajaan bergerak dengan baik. Oleh itu, tidak banyak masalah yang dibangkit oleh rakyat terutama di zaman media sosial ini.
Namun pada tahun kedua dan ketiga (2023 dan 2024), kerajaan mula mendapat tekanan daripada rakyat khasnya pembangkang. Apa sahaja yang berlaku, ia akan diberi naratif pelbagai pihak khasnya pembangkang. Maklumlah, pemimpin dan penyokong kerajaan sibuk mentadbir, manakala pembangkang pula kena mengkritik dan memberikan naratif negatif terhadap apa sahaja yang berlaku.
Sebab itu, pada tahun 2023 dan awal 2024, imej kerajaan agak buruk di mata rakyat. Rating Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tentu negatif.
Ia berubah menjelang akhir tahun 2024. Pada suku ketiga dan keempat tahun 2024, apa yang dilakukan kerajaan mula menampakkan hasilnya. Atas sebab itulah rating yang diberikan kepada kerajaan khasnya PM kelihatan positif.
Rating Anwar sebagai PM terus meningkat kepada 54 peratus ketimbang 50 peratus, tahun lalu.
Tinjauan Merdeka Center awal Disember 2024 berhubung kadar penilaian prestasi menunjukkan majoriti pengundi Malaysia memberikan Anwar penilaian positif dan berpuas hati dengan segala hasil kerja beliau dalam menarik pelaburan, memperbaiki imej negara dan memperkukuh perkhidmatan awam.
“Secara keseluruhan, pengundi berpuas hati dengan prestasi PM dalam pelbagai bidang seperti menarik pelaburan, memperbaiki imej negara dan memperkukuh perkhidmatan awam.
“Namun, mereka memberikan pandangan pelbagai terhadap usaha mengukuhkan ekonomi,” menurut kenyataan Merdeka Center.
Nama Malaysia mencanak naik di mata dunia pada tahun 2024 terutama di dunia Islam. Ini hasil dari kerja buat yang dilakukan Anwar di seluruh dunia.
Bagi pengkaji politik, sejarah hubungan antarabangsa Anwar telah memberikan sumbangan besar kenapa Malaysia sebuah negara kecil menjadi besar di mata dunia.
“Dan yang menariknya, peranan Anwar telah memberikan impak yang besar kepada dunia Islam dan juga untuk kepentingan Malaysia.
“Sebab itu, kita merekodkan kejayaan demi kejayaan di peringkat hubungan antarabangsa termasuk hubungan dagang.
“Walaupun Malaysia ini negara kecil tetapi hasil yang dibuat Anwar di pentas antarabangsa telah memberikan manfaat besar kepada negara,” kata CEO International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS), Dr Syed Azman Ahmad Nawawi.
Malaysia juga berjaya membawa pelaburan besar sepanjang 2024 menyebabkan rakyat memberikan keyakinan kepada kerajaan. Malaysia menjadi pilihan pelabur asing untuk tahun 2024.
Menurut Reuters, lima faktor menjadi punca Malaysia mempamerkan prestasi memberangsangkan di pasaran modal Asia Tenggara.
Pertumbuhan ekonomi yang pesat: KDNK suku kedua 2024 negara mencatat pertumbuhan 5.9 peratus. Kita dalam landasan tepat untuk mencapai, malah melebihi sasaran pertumbuhan 4 hingga 5 peratus untuk tahun 2024.
Strategi polisi Bank Negara Malaysia (BNM) berhasil: Berbeza polisi bank pusat negara Asia Tenggara lain yang lebih reaktif, BNM memilih untuk mengekalkan kadar faedah pada tiga peratus. Ini membuatkan ringgit naik dan bon-bon terbitan Malaysia menarik apabila Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) merancang untuk memotong kadar faedah lagi pada September nanti.
Ringgit mengukuh: Polisi BNM yang fokus kepada keseimbangan pertumbuhan vs inflasi memberi faedah kepada ringgit dalam jangka masa panjang.
Kenaikan aliran masuk modal asing: Pada tahun 2024, pasaran bon Malaysia telah menarik aliran masuk AS$75 bilion dari pelabur asing. Bursa Malaysia pula baru mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh hampir empat tahun pada minggu ini.
Kestabilan politik: Berbanding Thailand dan Indonesia, keadaan politik di Malaysia lebih stabil, membuatkan pelabur asing beralih ke Malaysia untuk destinasi pelaburan yang ‘selamat’.
Dengan rekod baik di tahun 2024 terutama di suku ketiga dan keempatnya, kita kini melangkah ke tahun 2025. Kita yakin momentum baik ini akan terus kekal dan memberikan lebih manfaat untuk rakyat dan negara ini sepanjang tahun 2025 ini.
Tambahan pula, kerajaan tentu merangka strategi ampuh untuk berdepan dua tahun terakhir dalam penggal ini bagi memastikan parti kerajaan dan Anwar kekal untuk mentadbir negara bagi penggal kedua selepas PRU 16 nanti.
SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi‚ bukan pendirian Wilayahku.
[Iklan]