PELAKON Emma Maembong mendedahkan perceraian dengan bekas suami, Muhammad Shazli Azhar, 36, bukan disebabkan orang ketiga.
Emma yang ditemui pada majlis tayangan filem Jangan Pandang Belakang 2, bagaimanapun enggan mendedahkan punca perceraian yang diumumkan pada Oktober lalu.
Menurut Emma, dia tidak akan berkongsi hal peribadi malah mengakui hubungan dengan bekas suami juga masih baik.
“Kalau boleh saya dan bekas suami tak mahu kongsikan mengenai perceraian kami bagi mengelakkan tokoh tambah dari orang luar.
“Tapi untuk mengelakkan daripada timbulnya fitnah, kami kongsikan juga.
“Keluarga sendiri terkejut dengan perpisaha kami, tetapi saya katakan yang perkahwinan bukan sesuatu yang mudah.
“Bagi saya tiada guna untuk saya kongsikan di sini punca perpisahan kami. Soal orang ketiga memang tidak ada, kami bercerai cara baik dan tak nak gaduh-gaduh kerana tidak mahu menganggu emosi anak-anak,” katanya.
Sementara itu, Emma juga berkata dia tidak pernah menghalang bekas suaminya daripada berjumpa anak-anak.
Malah dia juga tidak menetapkan hari tertentu untuk bekas suami berjumpa anak-anaknya.
“Saya tak ada menetapkan bila bekas suami boleh jumpa anak-anak. Kalau nak jumpa hari-hari pun tidak ada masalah kerana itu adalah bapa mereka.
“Tidak semestinya bila sudah bercerai, kita kena benci, sekat dan halang anak-anak jumpa bapa mereka kerana saya paling tak suka menyeksa anak-anak.
“Bagi saya bergaduh dengan bekas pasangan ialah tindakan tak baik, tidak perlu bergaduh dan berebut, usah biarkan anak-anak jadi mangsa,” katanya.
Emma dan Shazli mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Shariq Gabriel dan Shakil Aryan Shah. – WILAYAHKU